Home Tempatan Farid Kamil Positif Ganja, Direman Empat Hari

Farid Kamil Positif Ganja, Direman Empat Hari

SHARE

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah terkenal, Dato’ Farid Kamil Zahari disahkan positif dadah oleh pihak polis dan ditahan reman selama 4 hari bagi membantu siasatan, menurut laporan yang dipetik dari Harian Metro.

Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja,” kata Ketua Polis daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din dalam sebuah laporan portal tempatan.

Beliau berkata Farid hadir ke balai polis tersebut bersama seorang rakan untuk membuat laporan berhubung kes kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun ketika ditanya mengenai tujuan laporan ingin dibuat, Farid menunjukkan mesej aplikasi Whatsapp berbunyi ‘300 artis hutang ah long’.

“Dia tiba-tiba bertukar berang sebelum menampar anggota polis berkenaan yang turut disaksikan oleh seorang anggota lain dan tiga orang awam.

“Selain menampar polis dia turut menyepak dua orang awam lain,” katanya yang dipetik dari portal Mstar.

Ekoran dari itu, pelakon yang turut membarisi filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan sehingga menyebabkan kecederaan.

Comments