Home Tempatan Exco Selangor: Penceramah luar dibenarkan, tetapi perlu ada tauliah

Exco Selangor: Penceramah luar dibenarkan, tetapi perlu ada tauliah

Penceramah luar hanya dibenarkan berceramah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Diraja Sultan Sulaiman.

SHARE

PETALING JAYA: Semua penceramah luar dibenarkan berceramah di Selangor, tetapi dengan syarat mereka perlu mendapatkan tauliah daripada kerajaan negeri terlebih dahulu, kata exco negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

“Kita membuka ruang kepada sesiapa untuk berceramah, tetapi perlu dapatkan tauliah daripada kerajaan negeri Selangor. Kita juga tidak menyekat ilmu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya ketika ditanya adakah Selangor akan mengikut jejak kerajaan Melaka mengkaji secara terperinci kemasukan penceramah luar yang dilihat semakin berleluasa sejak 2015.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron berkata, situasi itu boleh memberi impak negatif kepada Melaka, termasuk penceramah tempatan tidak layak atau mampu mengajar dan memberi ceramah agama.

“Kita akan menetapkan syarat lebih ketat terhadap kemasukan penceramah luar bagi membendung isu negatif timbul. Berdasarkan rekod, seramai 157 penceramah luar termasuk dari Indonesia, Libya, Pakistan, Syria, Thailand, Yaman, Mesir, Lubnan, Singapura, India, Iraq dan Jordan dikesan memasuki Melaka sejak 2015.

“Kawalan yang lebih ketat oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) perlu untuk menapis ajaran penceramah luar ini,” katanya.

Mengulas lanjut, exco hal ehwal agama Islam, adat Melayu dan warisan, pembangunan desa dan kampung tradisi Selangor itu berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengelakkan penceramah tidak bertauliah.

Katanya, penceramah luar hanya dibenarkan berceramah di 3 masjid, iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Klang.

Bulan lalu, Ketua Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim dilaporkan berkata, pihaknya akan terus memantau kuliah di semua masjid negeri bagi memastikan penceramah tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyampaikan ceramah berunsur keganasan atau di luar bidang tauliah mereka.

“Kita ada jawatankuasa di semua 413 masjid di Selangor. Mereka inilah yang menjadi mata dan telinga kita. Apa sahaja yang berlaku di masjid memang di bawah kawalan Jais. Jika ada hal yang salah, kita tidak akan diam,” katanya pada 4 Januari lalu.

Free Malaysia Today

Comments