Home Tempatan Esscom sahkan penculikan kumpulan Abu Sayyaf

Esscom sahkan penculikan kumpulan Abu Sayyaf

SHARE

TAWAU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf sejak Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu awal pagi tadi.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dua tebusan itu adalah Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, iaitu kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu.

“Saya mendapat pengesahan daripada pihak tentera Filipina bahawa dua tebusan culik warga Malaysia berjaya diselamatkan dalam satu operasi

“Setakat ini, kita masih berhubung dan berurusan dengan pihak keselamatan Filipina mengenai perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Ditanya lanjut mengenai lokasi terkini Tayudin dan Abdul Rahim, beliau berkata kedua-dua mangsa masih berada di kem tentera di Filipina untuk menjalani proses tertentu.

“Ada proses tertentu (tidak boleh didedahkan), itu perkara biasa dan yang penting mereka selamat,” kata Wan Abdul Bari.

Sebelum ini, media asing melaporkan, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat diselamatkan oleh bot pasukan peronda Marin Filipina di perairan Pulau Pata di selatan Filipina.

Sehingga kini, tiga lagi warga Malaysia masih ditahan pengganas Abu Sayyaf iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang juga kru kapal tunda Serudong Tiga.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia diselamatkan tentera Filipina]

Sementara itu, Gustia Sultan, 47, isteri Tayudin masih belum mendapat maklumat berhubung pembebasan suaminya daripada mana-mana pihak termasuk pasukan keselamatan.

“Saya belum lagi dihubungi sehingga ini, hanya mengetahui perkara ini daripada media…tetapi saya sangat bersyukur mengenai berita pembebasan ini, saya gembira dan terharu,” katanya. – Bernama

Sinar Online

Comments