Home Tempatan Enggan bayar nafkah, rela dipenjara

Enggan bayar nafkah, rela dipenjara

SHARE

KUALA TERENGGANU: Kerana liat membayar nafkah anak selepas berpisah dengan isteri, lapan lelaki berusia antara 20-40an dipenjarakan dalam tempoh enam tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 37 orang yang diperintahkan ke penjara kerana ingkar perintah mahkamah dalam kes pembayaran nafkah sejak 2010.

Katanya, masalah ingkar perintah pembayaran nafkah menjadi masalah yang semakin berat yang sepatutnya ada jalan penyelesaian, selain daripada mahkamah sebagai jalan terakhir.

“Mengikut statistik, 1,371 kes ingkar perintah nafkah yang diadukan sejak 2010 hingga 2016 dengan 588 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah.

“Kebanyakan alasan yang diberikan oleh golongan bapa ialah mereka tidak mampu bayar atau tidak mahu bayar, tetapi hakikatnya ia lebih bergantung kepada sikap seseorang bapa itu yang tidak bertanggungjawab sehingga mengabaikan hak anak.

“Ini adalah antara kes yang diadukan dan kita percaya jumlahnya masih banyak dan tidak dipanjangkan kepada kita,” katanya di sini.

Bagaimanapun, katanya, masalah pengabaian nafkah anak bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah di seluruh negara.

Wan Mohd Zakri berkata, melihat kepada pertambahan kes berkenaan setiap tahun, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008.

“BSK ini berfungsi untuk memantau, mengendalikan kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah yang tidak dipatuhi bapa atau bekas suami.

“Selain itu, kita turut menyalurkan dana pendahuluan dan bantuan pendahuluan nafkah kepada golongan ibu yang yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah ini,” katanya.

Berita Harian

Comments