Home Tempatan Empat kontena daging babi dicampur kambing disita

Empat kontena daging babi dicampur kambing disita

SHARE

ISKANDAR PUTERI, 24 Syawal 1438H, Selasa – Empat kontena yang dibawa masuk dari Sepanyol di Pelabuhan Tanjung Pelepas disita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ekoran berisi daging babi bercampur dengan daging kambing.

Pengarah MAQIS Johor/Melaka, Siti Nur Ahmad berkata, bekalan daging anggaran 120 tan dirampas dalam satu serbuan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Daging itu, menurutnya, bernilai kira-kira RM2 juta dan diletakkan dalam kontena sejuk beku.

Mengulas lanjut, Siti berkata, pihaknya terus menyekat pergerakan kontena terbabit keluar dari kawasan pelabuhan, dan menjalankan siasatan bagi mengesan pengimport produk berkenaan setelah mendapat maklumat awam pada 31 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati pengimport terbabit adalah pengusaha tempatan produk sejuk beku yang beroperasi di Selangor.

“Terdapat keraguan dari segi muatan kontena itu yang mengandungi daging kambing dan muatan berisi daging babi bercampur di dalam kontena yang sama.

“Pengusaha terbabit melanggar syarat permit mengimport daging yang sepatutnya hanya dibenarkan import dari Australia sahaja.

“Sebaliknya daging yang tiba di pelabuhan adalah dari Sepanyol termasuk daging yang disyaki babi,” katanya.

Siti Nur berkata, pengimport daging tersebut sudah dipanggil untuk memberi penjelasan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta MAQIS 2011 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Comments