Home Santai@menara Ekspedisi Gunung Berembun & Telapak Buruk (Crash Area B-24 Liberator)

Ekspedisi Gunung Berembun & Telapak Buruk (Crash Area B-24 Liberator)

SHARE

Pada hari Sabtu 13 Mei 2017, Ekspedisi Memanjat Gunung Berembun (690m) dan Gunung Telapak Buruk (1,193m) di Negeri Sembilan telah berlangsung. Bertolak dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban pada jam 6:30 pagi seusai solat subuh. Keseluruhan perjalanan kami dari Shah Alam ke Telapak Gunung Berembun mengambil masa 1 jam 45 minit dan bagi yang datang dari negeri dan arah lain boleh dan mencari tempat ini dengan menggunakan aplikasi Waze dengan carian Masjid Kariah Pantai untuk berhenti solat sebelum ke tempat pendakian yang terletak di Loji Rawatan Air Pantai bersekali dengan tempat parkir kenderaan dan pintu masuk pendakian. Adalah dinasihatkan supaya sampai ke Loji Rawatan Air seawal pagi kerana kawasan parkir yang agak terhad dan jalan yang kecil.

Rombongan kali ini disertai seramai 65 orang yang datang dari negeri Selangor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Perak bagi mengikuti ekspedisi mendaki gunung yang dipimpin oleh seorang yang arif lagi ‘otai’ iaitu Pak Daud Guider.

Ringkasan Perjalanan

Starting Point – B-24 Crash Site : ~3.1KM  (9.00am – 11.40am)
B-24 Crash Site – Puncak Berembun: ~4.9KM (12:40pm – 3.00pm)
Puncak Berembun – Loji Air Pantai: ~5.6KM (3:30pm – 7:00pm)

Mula perjalanan menaiki kereta ke Loji Rawatan Air Pantai. Selepas tu, kami semua menaiki lori dari Loji sampailah ke Puncak Gunung Telapak Buruk (sila guna Waze, Koordinat GPS: 2.840706,102.067753). Perjalanan menaiki lori adalah selama 1 jam 15 minit dan penuh cabaran kerana permukaan jalan yang tidak sekata serta bukit yang curam. Kami menaiki lori sehingga nampak kelibat menara pencawang Telekom. Dari Loji Rawatan Air Pantai pukul 8.00am kami sampai dalam pukul 9.30am di Puncak Telapak Buruk.

Apabila semua peserta sampai di Puncak Telapak Buruk, sesi suai kenal & taklimat disampaikan oleh Pak Daud Guider bagi program ini. Selepas sesi taklimat dan bergambar di Puncak Telapak Buruk ni, kami mulakan perjalanan pada jam 9.00am ke kawasan terhempasnya Liberator B-24 ketika Peperangan Dunia Ke-Dua dahulu. Sepanjang laluan ini kebanyakannya turun saja. Ada juga yang menaik tapi sedikit sahaja dan laluan ini terdapat 2 pintu masuk untuk menaiki gunung ini bezanya yang dari pintu Loji Rawatan Air lebih mencabar berbanding laluan dari Puncak Telapak Buruk. Sepanjang perjalanan pacat memang banyak, boleh nampak di atas laluan, atas kayu, kadang-kadang di atas daun. Kalau datang sini bersedia sajalah untuk menderma darah.

Kami sampai ke kawasan kapal terbang terhempas dalam pukul 11.40am, perjalanan mendaki agak santai dan sangat menarik kerana tempat ini bercuaca sejuk dan berembun cuma perlu berhati-hati kerana permukaan tanah basah, berlecak dan apabila menurun bukit yang agak licin dan ditambah dengan akar-akar kayu boleh menyebabkan kecederaan. Di tempat ini anda perlu menuruni bukit yang curam untuk sampai ke tempat di mana terhempasnya kapal terbang B24 Liberator. Sampai sahaja di kawasan itu kita boleh melihat serpihan dan bangkai kapal terbang.

Pukul 12:40pm kami mulakan perjalanan ke Gunung Berembun. Laluan lebih kurang sebelum ini, ada turun dan ada naik dan ada juga landai. Pukul 3.00pm kami sampai di sana. Sesudah sampai di Gunung Berembun di mana tempat kami berehat maka, perut pun merasa lapar dan penat yang tidak terhingga kerana sepanjang perjalanan hanya berbekalkan coklat dan air. Kami pun membuka peralatan dapur dan menjamu selera sambil menunggu peserta yang lain sampai. Selepas berehat, kami teruskan perjalanan ke kaki Gunung Berembun pada pukul 3:30pm.

Perjalanan ke Gua Kambing agak mencabar kerana kecuraman yang dahsyat, saya hampir tergolek berapa kali masa nak turun, nasib baik tak hujan. Kalau hujan, memang dah bergolek-golek. Ada satu bahagian yang memang turun kena pakai tali, nasib baik turun, kalau naik guna jalan ni memang parah, kejang kaki. Selepas sampai ke Gua Kambing terdapat khemah serta pondok yang disediakan serta air sungai yang  bersih dan boleh diminum serta diambil untuk dijadikan bekal semasa perjalanan . Laluan selepas Gua Kambing lebih santai sedikit, tidaklah curam memanjang.

Dalam pukul 5:00pm kami sampai di Lata Berembun. Disitu, kami berehat sambil menikmati air terjun yang sangat sejuk bagi menyegarkan badan yang letih serta agak berlengas. Disebabkan sudah hampir pukul 6:00 petang, kami pun memulakan perjalanan ke Loji Rawatan Air di mana letaknya kenderaan kami semasa sampai. Selepas Lata Berembun ni, laluan  memang okay, santai. Akhirnya, dalam pukul 7:00 malam kami sampai di Loji Rawatan Air Pantai. Alhamdulillah, tamat sudah misi hari ni. Sesudah sampai, kami berehat sambil membersihkan diri di situ sebelum bergerak pulang ke tempat masing-masing.

Apa pun, perjalanan kali ni memang terbaik dan menarik  Terima kasih pada semua yang terlibat.

Comments