Home Antarabangsa Ekspatriat dilarang keluar dari Qatar

Ekspatriat dilarang keluar dari Qatar

SHARE
Ekspatriat yang bekerja untuk Qatar Petroleum dan organisasi lain tidak dibenarkan bercuti dan dilarang meninggalkan negara itu susulan krisis dengan negara Arab lain. - Gambar hiasan

DOHA: Ekspatriat yang bekerja untuk Qatar Petroleum dan organisasi lain tidak dibenarkan bercuti dan dilarang meninggalkan negara itu susulan krisis dengan negara Arab lain.

Seorang pegawai Qatar berkata, sesetengah cuti dibatalkan di ‘sektor penting kerajaan’ untuk memastikan kakitangan sedia bertugas ketika pihak berkuasa membuat rancangan menangani krisis terbabit.

Eksekutif dan jurutera ekspatriat di kumpulan tenaga itu berkata, arahan bermula sehari selepas Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan perdagangan dan pengangkutan dengan Qatar.

Doktor dari hospital kendalian kerajaan di Hamad membuat laporan sama dan yang lain berkata, arahan itu menjejaskan ratusan individu.

Pegawai Qatar Petroleum dan pihak hospital gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.

Seorang ekspatriat British yang bekerja untuk anak syarikat Qatar Petroleum berkata, permitnya untuk keluar dari negara itu dan melancong dibatalkan.

Sistem penajaan bekerja secara meluas dikuatkuasakan di negara Teluk dan dikenali sebagai ‘kafala’ di Qatar, memerlukan pekerja asing mendapatkan kebenaran majikan untuk bertukar kerja atau meninggalkan negara itu. – REUTERS

Berita Harian

Comments