Home Tempatan Editor dan Penulis Media Mesti Faham, Islam Agama Persekutuan – A Karim...

Editor dan Penulis Media Mesti Faham, Islam Agama Persekutuan – A Karim Omar

SHARE

KUALA LUMPUR: Editor-editor media mesti benar-benar faham tentang asas kedaulatan negara. Hal ini kerana mereka seringkali melakukan kesalahan dalam menulis berkenaan status agama Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Felo Kanan Institut Kajian Strategik Malaysia (IKSIM) Haji A. Karim Omar, berdasarkan laporan dan liputan media massa sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Muhammad V pada hari Isnin, 24 April 2017 baru-baru ini, jelas menampakkan ramai wartawan dan ketua editor media masih tidak memahami akan asas kedaulatan negara Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

“Kebanyakan media yang menyiarkan gambar YDPA mencium Al-Quran meletakkan ulasan (caption) ‘SULTAN Muhammad V mencium al-Quran iaitu lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV di Istana Negara, semalam’.”

“Ini adalah kesalahan besar dalam pemahaman tentang asas negara Malaysia dan kedudukan Islam di tanah air ini.”

“Islam adalah agama bagi Persekutuan, bukan agama rasmi negara. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan seperti mana ditegaskan dalam Perkara 4. Ini juga bermakna, rangkap kata yang kita kerap dengar bahawa Islam itu adalah agama rasmi itu salah dan tidak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” tegas Haji A. Karim Omar.

Sesetengah Menteri yang faham akan Perlembagaan menyebut Islam sebagai agama Persekutuan atau Islam agama negara, tetapi, apabila ianya dimasukkan dalam laporan sesetengah akhbar, ianya akan dilaporkan sebagai “Islam Agama Rasmi”.

“Maka, perlu ada usaha untuk mendisiplinkan fakta kepada mereka ini agar penyampaian maklumat yang benar dapat disampaikan kepada masyarakat untuk lebih memahami asas negara yang bertunjangkan agama Islam sejak daripada kedaulatan pemerintahan Raja-Raja Melayu yang sudah beratus tahun,” tuturnya lagi

Comments