Home Tempatan Dulu Islam Dihormati Tetapi Sekarang Islam Dicabar – Tan Sri Musa Hassan

Dulu Islam Dihormati Tetapi Sekarang Islam Dicabar – Tan Sri Musa Hassan

SHARE

Serdang, Selangor: Islam pada hari ini tidak lagi dihormati seperti dahulu kerana terdapat wakil rakyat yang berani menyatakan Islam bukan agama negara ini.

Demikian tegas mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Bin Hassan ketika menyampaikan tazkirah di Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam 2018 (DIPKI 2018) edisi Selangor yang berlangsung di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

“Kalau dulunya mereka menghormati agama Islam, tetapi sekarang mereka berani mencabar sehinggakan di dalam Parlimen ada wakil rakyat-wakil rakyat pembangkang yang menyatakan Islam bukanlah agama dalam negara ini.”

Menurut Tan Sri Musa Hassan lagi, berdasarkan pengalaman beliau sendiri menjaga keamanan dan keselamatan negara selama 41 tahun, banyak yang telah berubah.

Beliau juga menukilkan peristiwa di mana terdapat seorang wakil rakyat yang sanggup menggadaikan nyawa untuk melihat Islam tidak dimartabatkan di negara ini.

“Ini adalah satu perkara yang menghina Islam. Ada juga pihak-pihak yang mengatakan kalau nak menjadikan Islam agama negara langkah mayat saya dahulu, tetapi orang itu sudah tidak ada sekarang ini.”

Selain daripada itu, beliau turut menegaskan bahawa, tindakan dan perbuatan yang disebut itu adalah satu bentuk ancaman bukan sahaja kepada Malaysia malah kesemua negara Islam.

“Ini adalah satu ancaman kepada negara kita, untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan ancaman ini bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh negara Islam.”

Menurutnya lagi, situasi ini adalah disebabkan oleh pertembungan antara ketamadunan Barat dan ketamadunan Timur dan sekiranya cara hidup Barat tidak dicontohi, sesebuah negara Islam akan dijadikan musuh oleh Barat.

“Tamadun Barat dan tamadun Timur, Amerika berkehendakan Timur ini mengikuti cara mereka, dan kalau tidak dia akan menjadi musuh, oleh kerana itu banyaklah negara-negara Islam telah dimusuhi.”

Comments