Home Tempatan Dua pusat untuk jemaah haji di Mekah, Madinah

Dua pusat untuk jemaah haji di Mekah, Madinah

SHARE

PUTRAJAYA 27 Feb. – Kerajaan Arab Saudi akan mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mewujudkan dua pusat bagi jemaah haji berdekatan Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, permohonan Malaysia itu akan dipertimbangkan mengikut undang-undang negara berkenaan.

“Undang-undang negara Arab Saudi menyatakan bahawa pihak asing tidak boleh memiliki tanah di negara itu tetapi mungkin kita akan sewa di sana. Itu akan mereka teliti kelak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi di Seri Perdana, di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut dijalankan antara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Najib.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mempertingkatkan usaha menentang keganasan.

Kata beliau, kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang ketenteraan juga telah ditekankan oleh Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci dan tindakan akan diambil untuk memperkukuhkan kerjasama berkenaan.

“Raja Salman berasa senang hati dengan pendirian Malaysia dalam isu antarabangsa khususnya tindakan dalam menjelaskan ajaran Islam sebenar serta usaha memerangi sebarang bentuk keganasan seperti Daesh,” katanya.

utusan online

Comments