Home Tempatan Dr Zakir Naik perlu wujudkan institusi pendakwah

Dr Zakir Naik perlu wujudkan institusi pendakwah

SHARE
Dr Zakir Naik

KOTA BHARU – Sebuah institusi perkadaran pendakwah perlu diasaskan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik di Malaysia.

Exco Pemuda Pas Pusat, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, dengan wujudnya institusi tersebut, ramai anak murid Dr Zakir boleh membimbing rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Saya rasa pihak Dr Zakir boleh pertimbangkan perkara tersebut memandangkan Malaysia adalah negara Islam dan kewujudan institusi seperti ini memang amat dialu-alukan.

“Banyak cara untuk kita laksanakannya, apa yang penting, rakyat dapat ilmu yang berguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan yang sama, ketika diminta mengulas mengenai isu melibatkan peguam dan aktivis Siti Kasim dengan Dr Zakir, Nor Azariza berkata, seeloknya kekeliruan tersebut dileraikan segera.

Malah beliau turut bersetuju dengan cadangan yang mengutarakan supaya Siti Kasim berdialog dengan penceramah itu dan seharusnya ia dilakukan dalam waktu terdekat ini.

“Perkara (dialog) ini sangat penting bagi meleraikan segala kekusutan yang timbul. Kita tidak boleh biar anasir-anasir yang tidak elok ini terus memainkan sentimen buruk mereka dan sekali gus memberi racun kepada minda rakyat Malaysia.

“Saya hairan mengapa wujud rakyat Malaysia yang anggap Dr Zakir sebagai penyebab perpecahan sedangkan umum semua mengenali tokoh dakwah antarabangsa itu,” katanya.

Malah Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan itu juga berkata, pertemuan antara kumpulan tersebut dan Dr Zakir Naik perlu diadakan segera agar segala kekeliruan dan ketidakpuasan hati mereka dapat dihapuskan.

“Kita merasa malu kepada masyarakat antarabangsa yang menerima Dr Zakir tanpa sebarang masalah.

“Beliau bebas berceramah di Amerika Syarikat (AS),  Britain,  Jepun dan lain-lain, tetapi bila tiba di Malaysia yang dikatakan negara Islam ini, ada pula orang Islam sendiri yang membantah.Ini amat-amat memalukan,” katanya.

Sinar Online

Comments