Home Tempatan Dr Zakir Naik Menyebarkan Pandangan Ekstremisme – Azrul Khalib

Dr Zakir Naik Menyebarkan Pandangan Ekstremisme – Azrul Khalib

SHARE

PUTRAJAYA: Dr Zakir Naik digelar ‘idiot’ atau bodoh kerana gagal menggunakan populariti ‘televangelist’ yang diperoleh tokoh itu untuk menyeru komuniti Muslim bangkit memperjuangkan keamanan dan kesaksamaan di kalangan masyarakat dunia, dakwa salah seorang aktivis BEBAS yang berhimpun Februari lepas bagi membantah Akta 355.

Menurut Azrul Khalib yang juga merupakan eksekutif kanan di IDEAS, sebuah badan pemikir yang memperjuangkan idea-idea liberal, dia menggelarkan tokoh tersebut sebagai ‘idiot’ atau bodoh kerana Dr Zakir Naik sendiri tidak menggunakan kedudukan dan popularitinya untuk menunjukkan imej Islam yang mementingkan dan menegakkan keadilan sejagat.

Sebaliknya, pandangan dan pendapat Dr. Zakir yang dipopularkan melalui ceramah umum, video Youtube dan penulisan media cetak, serta di media Internet seringkali berdasarkan pandangan yang mengagungkan kegiatan keganasan dan terorisme, menyokong diskriminasi dan ketaksuban terhadap kepercayaan-kepercayaan dan agama-agama lain serta mempromosi pandangan yang boleh dianggap ekstremis.

Menurutnya, Zakir mewarwarkan teori-teori konspirasi yang lebih sesuai dibicarakan di kedai-kedai kopi dan majalah-majalah tabloid sensasi seperti kononnya mantan Presiden Amerika Syarikat, George Bush bertanggungjawab di atas kejadian 9-11.

“Pandangan-pandangan ini tidak luarbiasa dan sering kita dengari di kalangan mereka yang berpegang kepada ajaran-ajaran radikal dan ekstremis seperti Jemaah Islamiah (JI), ISIS, Abu Sayyaf dan lain-lain,” katanya.

Ditanya bukankah terdapat kebebasan bersuara seperti dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, Azrul menjelaskan, sememangnya seseorang itu tidak seharusnya disekat kebebasan bersuara semata-mata kerana mempunyai pendapat yang tidak disukai atau tidak sehaluan dengan majoriti.

“Sebab itulah saya menyatakan Zakir Naik berhak menyuarakan pendapat dan fikiran beliau sepertimana orang lain,” katanya.

Menjawab persoalan adakah kebebasan itu terbatas kepada orang atau organisasi tertentu Azrul berkata, kebebasan bersuara itu hanyalah terbatas atau disekat apabila ia bersifat mengapi-apikan sentimen perkauman, provokasi, ucapan kebencian (hate speech), diskriminasi dan hinaan yang membawa kepada keganasan.

“Ia tidak boleh diserahkan seratus peratus kepada golongan pemerintah dan ahli politik.”

“Tahap kebebasan bersuara merupakan intipati penting yang terlibat dalam pengukuran kemajuan sesebuah Negara,” katanya.

Walau bagaimanapun Azrul berkata, tidak wujud kebebasan mutlak dan perlu ditekankan bahawa ucapan kebencian (hate speech) bukanlah sebahagian daripada kebebasan bersuara.

Comments