Home Menara English Local Dong Zong: Sukatan pelajaran BM UEC kekal

Dong Zong: Sukatan pelajaran BM UEC kekal

SHARE

PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memutuskan untuk tidak menambah baik sukatan pelajaran bahasa Malaysia (BM) untuk Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC).

“Kami tidak nampak keperluan untuk menaikkan standard itu buat masa ini,” kata Pengerusi Dong Zong, Datuk Vincent Lau Lee Ming kepada FMT.

Beliau berkata demikian susulan kritikan standard BM dalam UEC tidak memenuhi piawaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lau bagaimanapun berkata, Dong Zong akan mengkaji kemungkinan menaikkan standard BM di sekolah persendirian Cina dan tindakan itu akan dibuat berdasarkan hasil kajian.

“Kebanyakan pelajar kita sedang menduduki peperiksaan SPM serta UEC dan mampu mendapat keputusan kredit dalam kertas BM. Tetapi, ada juga yang tidak boleh (dapat keputusan) itu.”

Katanya, standard BM di sekolah persendirian Cina lebih rendah kerana pelajar mempelajarinya sebagai bahasa ke-2 bersama bahasa Inggeris.

Pada 7 Januari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mary Yap dilaporkan berkata, “standard BM UEC tidak sama dengan SPM”.

Beliau berkata, ia adalah 1 daripada 4 faktor kementerian tidak mengiktiraf UEC.

Katanya, faktor lain ialah UEC tidak sejajar kurikulum kebangsaan; syarat kemasukan universiti awam; dan sukatan pelajaran tidak mencukupi untuk sejarah Malaysia.

Minggu lalu, Lau menggesa Kementerian Pendidikan membenarkan pelajar UEC hanya mengambil kertas BM, bukannya semua 6 mata pelajaran SPM wajib bagi membolehkan mereka memasuki universiti kerajaan.

Pelajar sekolah persendirian Cina tidak perlu lulus BM dalam UEC.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata, standard SPM memenuhi penanda aras Peperiksaan Antarabangsa Universiti Cambridge (CIE).

“Kami ikut penanda aras ditetapkan Cambridge yang bermakna SPM dan O-level di tahap sama,” katanya.

Kamarozaman berkata, tidak sukar memperolehi keputusan kredit dalam kertas BM SPM jika pelajar memberi perhatian di dalam kelas.

“BM bukan kertas sukar. Jika mereka mengikuti apa yang diajar guru, ia mudah untuk mendapat keputusan kredit.”

Free Malaysia Today

Comments