Home Surat Dobi Muslim: Beza Antara Naratif Emosi Dan Realiti Kes

Dobi Muslim: Beza Antara Naratif Emosi Dan Realiti Kes

SHARE

Isu “Dobi For Muslim” kembali hangat. Isu yang asalnya hanyalah kecil kini menjadi isu negara apabila naratif isu ditokok tambah. Mari kita lihat isu ini pada dasarnya secara rasional. Letak tepi naratif emosi yang ditiup oleh beberapa media alternatif.

Asal sebenarnya, “Dobi For Muslim” ini hanyalah sebuah konsep perniagaan bagi tujuan strategi pemasaran. Secara logiknya, mustahil peniaga ingin menolak rezeki dengan mengadakan diskriminasi terhadap segolongan pelanggan. Selalunya peniaga akan kaut sahaja mana-mana pelanggan asalkan mendapat keuntungan. Kalau dobi ini ingin mendiskriminasikan pelanggan, maka pihak merekalah yang rugi.

Namun, konsep perniagaan Melayu-Muslim ini telah ditularkan dengan naratif yang mengelirukan. Dengan menyematkan unsur emosi, sebuah portal berita kontroversi telah mengaitkan kononnya dobi ini bersifat perkauman. Maka, portal media itulah sebenarnya yang pertama sekali mengangkat isu perkauman.

Berita bernaratif emosi ini menjadi cepat tular sehingga mendapat perhatian pihak istana. Sebagai seorang pemerintah negeri yang prihatin, sudah pastinya akan timbul rasa khuatir apabila tular berita-berita kononnya telah berlaku ”isu perkauman” seperti yang didakwa netizen. Maka pemerintah bertindak untuk membuat beberapa nasihat agar ianya segera diselesaikan secara baik.

Namun, sekali lagi media alternatif itu telah membuat tajuk berita secara kontroversi dengan membesar-besarkan ucapan “Ini Bukan Negeri Taliban”. Oleh itu, ucapan ini mendapat beberapa respon dari kalangan rakyat. Ada pihak yang gembira kerana Sultan telah “men-Taliban-kan” pengusaha dobi Melayu-Muslim tersebut. Ada pula rakyat khususnya orang Melayu-Muslim yang kurang bersetuju dengan penggunaan perkataan yang dilihat agak keras sebegitu pada isu sekecil ini.

Atas faktor keterbukaan pandangan, fiqh wasati dan meraikan pandangan seperti yang sering dilaung-laungkan agamawan masa kini, maka beberapa pihak tampil untuk menyatakan pandangan masing-masing. Antaranya ialah Mufti Negeri Johor yang menyokong Konsep Perniagaan sebegini. Dalam Fekah Bab Taharah (Bersuci), kedai dobi umum sememangnya tiada masalah. Namun, jika dari sudut Tasawwuf, sepertimana para solehin dahulukala, umat Islam dituntut menjaga Wara’ iaitu berhati-hati dan memilih yang terbaik dalam kehidupan.

Wara’ bukanlah Was-Was secara melampau ataupun sikap jumud seseorang Muslim. Ianya satu bab dalam aspek Rohani (Tasawwuf). Umum mengetahui umat Islam Malaysia sudah menjauhkan diri dari aspek Kerohanian dan Tasawwuf serta sudah meninggalkan pengajian fardhu ain sehinggakan isu sekecil bab taharah pun menjadi isu negara. Oleh itu, renungilah kisah-kisah wali Allah yang menjaga bab makan minum, khusyuk dalam solat, halal haram rezeki, soal kebersihan dan lain-lain.

Sememangnya, dalam Fiqh Islam, ketelitian corak kehidupan antara Muslim dan Non-Muslim adalah berbeza. Muslim memiliki syarat, sah, batal dan rukun dalam sesuatu perkara. Cara umat Islam bertaharah tidaklah sama dengan penganut agama lain. Perbezaan ini bukanlah suatu peghinaan kepada penganut agama lain, sebaliknya ianya mrupakan keunikan dan keindahan ajaran Islam yang syumul ini. Namun, umat Islam juga dilarang bersikap eksklusif dan prejudis kepada Non-Muslim kerana mereka adalah golongan yang kurang mengerti. Maka, salurkan informasi sebegini kepada mereka dengan cara yang baik.

Dr Zamihan lebih cenderung untuk menyetujui pandangan Mufti Johor yang mengutamakan aspek Tasawwuf dalam hal ini. Dr Zamihan yang terkenal sebagai seorang yang tegas dan berkata jujur juga membuat sedikit perkongsian bahawa pengistilahan “Taliban” dalam isu sekecil ini tidak patut diucapkan kepada marhaen yang berusaha mencari rezeki. Lebih banyak lagi isu besar seperti festival arak, LGBT, Liberalisma dan lain-lain yang memerlukan perhatian pihak berwajib.

Walau bagaimanapun, pihak portal yang sama juga sekali lagi membuat naratif yang mengelirukan kononnya Dr Zamihan “menyelar” pihak Istana. Istilah “menyelar” sengaja digunakan bagi menampakkan seolah-olah Dr Zamihan melawan pihak Istana sedangkan sudah menjadi lumrah dalam Tamadun Islam, pihak agamawan akan menasihati pemerintah. Jika ditonton semula video tersebut, tiada unsur-unsur penghinaan kepada pihak Istana. Saya tertanya-tanya, “Sejak bila portal media dan kelompok seangkatannya begitu prihatin menjaga Institusi Raja-Raja Melayu? Atau hanya menangguk di air keruh?”

Dr Zamihan yang merupakan seorang pegawai kerajaan di bahagian keagamaan sudah tentu menghormati Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam. Bahkan beliau sering menyebut tentang peri pentingnya Institusi Raja-Raja dalam menjaga survival agama Islam dari golongan Anarkis, Sosialis, Liberal dan lain-lain kelompok yang secara terang-terangan ingin menghapuskan monarki. Bahkan, beliau merupakan antara tokoh yang mempertahankan autoriti negara dalam menolak ancaman pengganas dan pernah membentang kertas kerja berkaitan bahaya fahaman Syiah kepada para Menteri dan Raja-Raja.

Isu ini dibesarkan lagi untuk mengaitkan Dr Zamihan dengan Akta Hasutan atas sebab menimbulkan isu perkauman. Dr Zamihan ada menyebut beberapa perkara yang sinonim dikaitkan dengan sebuah kaum. Maka demi menjaga Wara’, tidak salah “Dobi For Muslim” diperkenalkan demi mengelakkan syubhah tersebut. Penguna Non Muslim boleh sahaja pilih kedai dobi lain. Bukannya dihalang terus hak untuk mengguna dobi di Malaysia. Namun, pemilik akhbar sama ada arus perdana mahupun alteratif, telah senada bersatu memainkan naratif yang sama walaupun mereka diihat berbeza dari segi pentas politik. Jelas bahawa pakatan pengamal media itulah sebenarnya yang memercikkan api perkauman sehingga mereka sanggup meminta kenyataan akhbar Majlis Raja-Raja dengan segera. “Prihatin” sungguh mereka.

Isu ini bertambah besar apabila beberapa tokoh Melayu-Islam sendiri mula membuat ulasan. Tokoh-tokoh yang sering dikaitkan sebagai “golongan yang tidak sealiran pendapat” dengan Dr Zamihan juga bertindak menghurai isu ini menurut kaca mata mereka, malah turut bersama-sama membuat tekanan sama ada di media sosial mahupun kepada pihak berkuasa.

Oleh itu, Dr Zamihan dipanggil oleh pihak polis kononnya untuk diambil keterangan. Namun, tidak semena-mena, pegawai bertugas telah menahan Dr Zamihan. Maka Dr Zamihan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. Satu tindakan yang “amat pantas” oleh pihak berkuasa bagi menyelesaikan kes dobi ini. Tahniah diucapkan. Diharapkan, isu-isu sensitiviti Melayu-Islam juga akan mendapat perhatian sepantas ini pada masa hadapan.

Oleh: Ibn Jawi

*Ibn Jawi merupakan seorang pembaca Menara.my. Pandangan yang dilontarkan adalah dari penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Menara.my.

Comments