Home Tempatan Dibayar Untuk Servis, Tiada Beza Pelakon Porno Dan Peguam — Boo Su-Lyn

Dibayar Untuk Servis, Tiada Beza Pelakon Porno Dan Peguam — Boo Su-Lyn

SHARE

Putrajaya: Menjadi pelacur atau pelakon filem lucah adalah sesuatu yang bermoral, sepertimana profesion lain seperti peguam dan pelakon filem konvensional yang turut menerima upah untuk perkhidmatan yang ditawarkan, dakwa Penolong Editor Malay Mail Online, Boo Su-Lyn. Manakala agamawan yang mahu memaksa nilai-nilai keagamaan ke atas setiap orang adalah mereka yang tidak bermoral, menurutnya lagi.

Soal Boo Su-Lyn, “Apa yang tidak bermoral sangat dengan pelakon-pelakon pornografi atau mereka yang bekerja dalam industri seks? Mereka hanyalah cuba mencari makan, sepertimana kita semua.”

“Tidak ada beza antara perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki yang berlakon dalam filem-filem pornografi dan mereka dalam filem-filem konvensional. Dan sepertimana dengan Oscar, industri hiburan lucah ada majlis anugerahnya sendiri — AVN Awards — untuk mengiktiraf yang terbaik dalam porno. Cuma satu terlibat dengan seks dan satu lagi tidak,” hujah beliau.

“Sama juga, tiada beza antara peguam-peguam, sebagai contoh, dengan pekerja-pekerja seks — kedua-duanya menawarkan khidmat berbayar,” tambah Boo Su-Lyn lagi.

Penolong Editor Malay Mail Online merangkap tulang belakang Himpunan Anti RUU-355 ini juga menuduh rakyat negeri Kelantan dan Terengganu sebagai yang paling ramai membuat carian Google mengenai seorang pelakon porno baru-baru ini.

“Dan yang lawaknya, kita lihat minat yang tinggi di Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang ada perundangan hudud (tidak dikuatkuasakan), negeri-negeri itu ada pencarian Google yang tertinggi untuk Ozawa semasa beliau bercuti di sini,” tuduh Boo Su-Lyn.

Perlakuan seks untuk tontonan orang ramai bukanlah perosak nilai-nilai ketimuran, namun ahli politik yang jahat dan agamawan yang mahu memaksa nilai-nilai keagamaan ke atas setiap oranglah yang tidak bermoral, menurut Penolong Editor Malay Mail Online yang pernah mendesak agar peruntukan yang mengawal dan menyekat penyebaran agama lain kepada orang-orang Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dihapuskan.

Tegas Boo Su-Lyn, “Bukannya bintang-bintang porno yang merosakkan benda yang dinamakan sebagai nilai-nilai ketimuran kita.”

“Ahli-ahli politik korup yang mencuri daripada rakyat dan agamawan fundamentalis yang bertegas mahu mengenakan cara hidup mereka ke atas setiap oranglah adalah mereka yang tidak bermoral,” dakwa beliau.

Nasihat Boo Su-Lyn, “Orang-orang Malaysia perlu kurang memberi tumpuan berkenaan seks dan kawalan moral. Kehidupan seks orang lain adalah bukan urusan kita, dan juga bukan urusan kerajaan.”

Sebelum ini, Boo Su-Lyn juga pernah mendesak supaya perundangan Syariah dan jabatan-jabatan agama dihapuskan agar kerajaan tidak boleh menentukan bagaimana umat Islam harus hidup.

“Hapuskan perundangan Islam dan jabatan-jabatan Islam kerajaan. Biarkan orang-orang Islam hidup sepertimana yang mereka sendiri rasa bersesuaian. Sekiranya kerajaan dibiarkan mengawal apa yang kamu fikir mengenai agama, sesuatu isu asas yang sebahagian orang guna untuk mencari maksud kehidupan, maka kerajaan ada kebebasan mutlak untuk menentukan bagaimana kamu harus hidup. Idea yang sungguh menakutkan.”

Comments