Home Tempatan Dewan Ulama PAS lulus usul PM mesti Islam, Melayu

Dewan Ulama PAS lulus usul PM mesti Islam, Melayu

SHARE
Sumber gambar :http://drtakiri.blogspot.my/

ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS hari ini sebulat suara menerima usul supaya jawatan Perdana Menteri hanya diisi warganegara Islam berbangsa Melayu.

Ketetapan itu dicapai bagi membolehkan PAS Pusat menerusi barisan Ahli Parlimen dari parti itu mendesak Kerajaan Persekutuan supaya membuat pindaan terhadap Perlembagaan berhubung ketetapan terbabit.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mengesahkan selain warga negara Islam berbangsa Melayu, calon juga mestilah melengkapi syarat kepimpinan dalam Islam.

Beliau berkata Dewan Ulama PAS menyedari antara syarat kepimpinan tertinggi dalam Islam hendaklah dalam kalangan bangsa berpengaruh dihormati dalam sebuah negara, sebagaimana difahami daripada status bangsa Quraisy sebagai syarat khalifah.

Justeru, katanya dalam konteks Malaysia, 60.4 peratus rakyat negara ini adalah terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

“Usul turut mengambil kira jawatan Perdana Menteri dalam konteks Malaysia sebagai kuasa eksekutif tertinggi yang berkuasa menentukan sesebuah pentadbiran sentiasa berasaskan prinsip Islam bagi menegakkan agama.

“Selain itu, Dewan Ulama PAS turut melihat keperluan usul ini dalam memberikan jaminan bagi pelaksanaan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang bersangkut paut hal berkaitan hak-hak keistimewaan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas sesi penggulungan sempena Muktamar Dewan Ulama PAS Ke-56 di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), di sini.

Berita Harian

Comments