Home Tempatan Derita Rohingya: Asal nampak alim boleh jadi jurunikah

Derita Rohingya: Asal nampak alim boleh jadi jurunikah

SHARE

BERKAHWIN dengan gadis sunti Rohingya berusia antara 12 tahun dan 18 tahun yang diseludup masuk oleh sindiket pemerdagangan manusia ke Malaysia bukanlah sukar. Malahan ia dianggap sebagai perkara yang paling mudah untuk dilakukan oleh lelaki Rohingya yang masuk ke negara ini secara haram.

Pengantin lelaki hanya perlu menyediakan bayaran kepada sindiket penyeludupan manusia antara RM2,000 ke RM18,000 bagi membeli penganti wanita yang juga diseludup masuk secara haram ke Malaysia.

Pengantin lelaki kemudian hanya perlu menyediakan mahar berbentuk rantai emas atau gelang emas kepada gadis tersebut. Mereka tidak perlu mencari jurunikah kerana ia telah disediakan oleh sindiket dengan bayaran antara RM100 hingga RM500.

Paling mengejutkan  ialah jurunikah tersebut tidak perlu mendapatkan tauliah sebagai kadi, cukup hanya dengan penampilan sebagai seorang alim ataupun menjadi imam beberapa kali. Itu pendedahan oleh Presiden Persatuan Islam Bagi Kemajuan Masyarakat Rohingya di Malaysia (Unirod), Muhammad Islam.

“Ada songkok sikit. Ada janggut sikit, dua tiga hari keluar tabligh cukuplah. Kalau kenal sindiket telefon sahaja. Ustaz malam ini lepas maghrib datang ada hal sikit. Dia cuma beritahu ada kenduri.

“Bila sampai dia minta nikahkan. Senang. Bayar RM100 kepada ustaz tabligh semua selesai,” bongkar Muhammad Islam ketika ditemui dipejabatnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Utusan Online turut diberitahu pengantin lelaki juga tidak perlu bimbang untuk mendapatkan sijil pengesahan perkahwinan kerana boleh didapati di mana sahaja termasuk di pasar malam.

Muhammad Islam menunjukkan berhelai-helai sijil nikah palsu yang dikemukakan oleh pasangan pengantin Rohingya yang datang berjumpa beliau kerana mahu bercerai.

“Anda boleh lihat ada pelbagai jenis surat nikah yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak kepada pengantin Rohingya. Malahan surat nikah ini juga boleh dibeli di pasar malam dengan harga RM30. Akad nikah suka-suka. Siapa pun boleh menjadi jurunikah,” kata Muhammad Islam.

Muhammad Islam berkata, ketiadaan badan penyelia dan perundangan yang boleh mengawal selia perkahwinan dalam kalangan pelarian Rohingya menyebabkan masalah yang berkaitan dengan agama ini semakin berleluasa dalam kalangan Rohingya di negara ini.

Kelompongan ini menimbulkan keadaan di mana sesiapa juga dalam kalangan pelarian berkenaan boleh menjadi jurunikah kepada pasangan yang ingin berkahwin.

Menurut beliau, masalah yang timbul menyebabkan berlakunya perkahwinan yang tidak menepati hukum syariah dan mencabul hak kemanusiaan khususnya bagi pengantin perempuan.

“Juru nikah ini tidak melakukan siasatan mengenai latar belakang baik pengantin perempuan mahupun lelaki. Adakah wanita itu mempunyai suami atau tidak bukan menjadi satu isu.

“Pelanggaran hukum syarak banyak berlaku dari sudut umur pengantin; pematuhan tempoh edah dan status perkahwinan pengantin perempuan yang kerapkali masih berstatus sebagai isteri yang belum diceraikan,” kata Muhammad Islam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Mehrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, etnik Rohingya hanya berkahwin sesama mereka di Malaysia dan hanya dinikahkan oleh ‘ustaz’ atau ‘imam’ Rohingya sahaja

“Selalu jika etnik Rohingya dengan Rohingya kahwin kita hanya pakai ustaz atau imam Rohingya. Kita tidak boleh buat permohonan dengan pejabat agama di Malaysia untuk bernikah kerana pelarian Rohingya tidak diiktiraf.

“Walaupun si pengantin ada suami atau isteri, ‘ustaz’ yang mendapat wang tidak berfikir panjang untuk mengahwinkan pasangan yang di bawa ke pada meraka.   Saya fikir perkahwinan ini tidak sah,” kata Zafar Ahmad yang ditemui dipejabatnya di Cheras di ibu negara.

Zafar Ahmad turut menjelaskan masalah juga timbul apabila pengantin perempuan khususnya gadis bawah umur yang mahu bercerai untuk membebaskan diri daripada perkahwinan tersebut.

Kata beliau, pemasalahan timbul kerana tiada dokumen yang benar-benar sah atau dikeluarkan oleh badan yang diiktiraf yang boleh digunakan untuk mengesahkan mahupun membatalkan perkahwinan tersebut.

Kedua-dua aktivis pelarian Rohingya berkenaan berpendapat isu perkahwinan dalam kalangan masyarakat berkenaan di negara ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Malaysia khususnya badan pentadbiran agama.

Menurut mereka dengan campur tangan kerajaan masalah jurunikah tidak bertauliah ini dapat diselesaikan dan perkahwinan dalam kalangan pelarian Rohingya dapat dikawal selia dengan lebih baik.

“Masalah perkahwinan dalam kalangan Rohingya ini mendatangkan kesan bukan sahaja dari sudut syariah tetapi juga sosial. Hanya dengan campurtangan kerajaan Malaysia sahaja masalah ini boleh di atasi.

“Ini saya harap kerajaan ambil berat gunakan undang-undang syariah Malaysia agar perkahwinan Rohingya ini sah dari sudut agama dan sekaligus dapat menghalang sindiket perkahwinan bawah umur yang melibatkan gadis-gadis Rohingya,” rayu Zafar Ahmad.

utusan online

 

Comments