Home Tempatan Demam denggi penyakit berjangkit tertinggi di negara

Demam denggi penyakit berjangkit tertinggi di negara

SHARE

KUALA LUMPUR: Penyakit demam denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes disenaraikan sebagai penyakit berjangkit paling tinggi di negara ini dengan nisbah 328.3 kes setiap 100,000 penduduk, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ini diikuti dengan penyakit tangan, kaki dan mulut (152.25), leptospirosis (kencing tikus) (17.12), hepatitis B (12.60) dan HIV (11.00).

Beliau berkata kementerian melaksanakan pelbagai strategi khusus untuk mengawal dan mencegah penyakit berjangkit daripada merebak.

“Bagi menangani insiden penyakit demam denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes, kementerian melaksanakan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan termasuk menggunakan sistem pemantauan berasaskan laman sesawang secara tepat masa iaitu eDengue, sistem pengurusan wabak denggi (SPWD) bagi meningkatkan pengawasan ke atas lokaliti kes dan wabak denggi,“ katanya.

Menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai insiden penyakit berjangkit di negara ini serta strategi pencegahannya, beliau berkata aktiviti gotong-royong secara berkala dijalankan di kawasan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, selain gotong-royong di seluruh negara sekurang-kurangnya 2 kali setahun,

Di samping itu, program Bebas Denggi dan penubuhan pasukan sukarelawan ‘Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku’ (Combi) di kawasan tumpuan pembiakan nyamuk itu juga diperkukuhkan, katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata Malaysia dikategorikan dalam kadar sederhana bagi penyakit tibi berbanding negara jiran iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Strategi utama pencegahan penyakit tibi adalah pengesanan dan rawatan awal bagi semua kes tibi sehingga pesakit diisytihar sembuh sepenuhnya daripada penyakit tersebut.

“Pemeriksaan kahak akan dilakukan ke atas pesakit yang mempunyai tanda dan gejala tibi termasuk pemeriksaan x-ray dada terhadap golongan berisiko tinggi mendapat penyakit tersebut.

“Kemudahan diagnosis penyakit tibi juga ditingkatkan dengan pembelian mikroskop fluoresen LED yang boleh tingkatkan sensitiviti pengesanan bakteria,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments