Home Tempatan Delegasi PAU Digesa Sokong Titah Sultan Mizan – CEO IKSIM

Delegasi PAU Digesa Sokong Titah Sultan Mizan – CEO IKSIM

SHARE

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) menyambut baik serta menjunjung tinggi titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu baru-baru ini.

Sultan Mizan baru-baru ini bertitah supaya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pihak yang mencabar kesucian dan mempertikaikan kedudukan Islam di dalam negara ini.

“Justeru, beta menyeru dan menggesa MAIDAM serta JHEAT mengambil tindakan dalam menangani perkara seperti ini kerana jika dibiarkan akan menjejaskan keharmornian masyarakat berbilang agama di negara ini.”

Dato’ Prof Hj Mahamad Naser Disa juga menggesa, Menteri Dalam Negeri turut menyambut titah yang baik ini dan mengambil tindakan terhadap pertubuhan-pertubuhan yang masih bebas menjalankan aktiviti-aktiviti bertentangan dengan membatalkan pertubuhan mereka seperti yang termaktub dalam Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.

“Pertubuhan-pertubuhan yang tidak berdaftar juga sebenarnya dilarang daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan Islam dan menghina Islam dan perlu diambil tindakan oleh ROS di bawah Akta Pertubuhan.”

Beliau turut berharap para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini memberikan fokus menyokong titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang selari dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti mana yang termaktub di dalam Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu Dato’ Prof Hj Mahamad Naser Disa juga menggesa supaya UMNO menyelaraskan perlembagaan parti tersebut selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Negara yang mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara dan bukan sekadar ‘Agama Rasmi’ negara.

Comments