Home Kolumnis Deklarasi Balfour 1917, Titik Mula Genosid Palestina

Deklarasi Balfour 1917, Titik Mula Genosid Palestina

SHARE

Pada 16 Oktober 2017 yang lalu, portal akhbar Aljazeera melaporkan bahawa, satu bantahan telah diadakan oleh golongan pelajar dan pensyarah dari Universiti Manchester bagi membangkang penganjuran program sambutan 100 Tahun Deklarasi Balfour yang bakal dijalankan di universiti tersebut oleh kumpulan pro-Israel.

Dalam bantahan tersebut, mereka bertanya sama ada pihak universiti menyedari program yang dirancang itu akan menyambut ulang tahun deklarasi yang telah menyebabkan pengusiran kira-kira 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka serta kemusnahan lebih 400 buah perkampungan sewaktu peristiwa An-Nakbah pada tahun 1948. Surat itu juga menyelar sikap tidak peka pihak universiti terhadap sensitiviti komuniti Palestin yang ada di situ.

Deklarasi Balfour adalah satu dokumen perisytiharan bertarikh 2 November 1917 yang mengiktiraf pembinaan negara Yahudi iaitu Israel. Perisytiharan Balfour 1917 atau lebih mudah dikenali sebagai Deklarasi Balfour 1917 adalah sepucuk surat menyatakan sokongan kerajaan British kepada pembentukan negara Yahudi di tanah Palestin. Surat sokongan itu dihantar oleh Menteri Luar British ketika itu, Arthur James Balfour kepada pemimpin komuniti Yahudi di Britain yang juga tokoh Zionis, Lord Baron Lionel Walter Rothschild untuk diserahkan kepada Pertubuhan Zionis.

Dalam surat yang dipersetujui dan disepakati oleh ahli Kabinet British itu, kerajaan British menyatakan sokongan penuh pembentukan negara Yahudi di tanah Palestin dan akan memberi bantuan kepada rejim Zionis merealisasikan harapan mereka dengan syarat; pihak Zionis perlu menghormati dan tidak menjejaskan hak sivil dan agama kaum bukan Yahudi di tanah Palestin begitu juga hak dan status politik komuniti Yahudi di negara lain.

Akan tetapi, walaupun isi surat menyebut mengenai hak sivil dan agama kaum bukan Yahudi di Palestin perlu dihormati dan dijaga, dasar polisi asing Timur Tengah yang dibentuk Balfour secara nyata memihak kepada Zionis. Buktinya, dalam satu memorandum pada tahun 1919, Balfour menyebut bahawa Zionis dan tujuan rejim itu untuk mewujudkan negara moden Israel lebih kuat berbanding keinginan dan prejudis 700,000 orang Arab yang mendiami tanah tersebut (Palestin) ketika itu.

Sebelum berlakunya Perang Dunia I, sebahagian daripada wilayah Palestin berada di bawah kekuasaan Khilafah Turki Uthmaniyah. Akan tetapi, selepas berakhirnya Perang Dunia I yang menyaksikan kekalahan Empayar Turki Uthmaniyah, wilayah-wilayah di sempadan Palestin telah dikuasai oleh British dan Perancis kesan daripada Perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916.

Pengaruh Deklarasi Balfour selepas perang itu boleh dilihat apabila pentadbiran sementara Palestin diserahkan kepada British berdasarkan sistem “mandat” Perjanjian Versailles 1919 yang sepatutnya merangkumi komuniti Arab dan Yahudi.

Selepas berlakunya Perang Dunia II dan holocaust, pihak antarabangsa bersimpati dengan keadaan kaum Yahudi yang dilihat seperti ditindas. Lantaran itu, mereka memberi sokongan kepada pihak Zionis yang akhirnya berjaya merealisasikan impian jahat Zionis untuk membentuk sebuah negara baru di Palestin pada tahun 1948 dengan nama Israel.

Semenjak itu, kerajaan British dengan sengaja mengabaikan hal ehwal dan kebajikan masyarakat asal Palestin sekaligus mengingkari isi kandungan perjanjian yang tercatat dalam Deklarasi Setiausaha Asing November 1917.

Selain itu, antara kesan Deklarasi Balfour 1917 adalah, kemasukan beramai-ramai kaum Yahudi dari seluruh dunia ke Palestin yang membawa kepada detik hitam peristiwa An-Nakbah. Malapetaka yang berlaku pada 15 Mei 1948 itu menyaksikan beratus ribu rakyat Palestin sama ada dibunuh atau diusir daripada kampung halaman mereka agar Zionis laknatullah boleh membangunkan negara mereka sendiri di situ.

Sewaktu berlakunya Deklarasi Balfour, 90 peratus populasi di tanah Palestin terdiri daripada bukan Yahudi. Namun, tiga dekad kemudian, selepas Israel mengisytiharkan kemerdekaan di bumi anbiya’ yang dirampas itu, populasi Yahudi meningkat melebihi bukan Yahudi.

Peperangan yang berlaku antara komuniti Arab Palestin dengan Zionis adalah dalam bentuk yang tidak seimbang antara kedua belah pihak. Kelebihan dilihat memihak kepada Zionis yang disokong kuasa besar dunia. Selepas kelemahan British dalam Perang Dunia II, gerakan Zionis beralih kepada Amerika Syarikat sebagai kuasa besar baru yang menjadi sekutu rapat mereka. Perkembangan ini semakin menyulitkan perjuangan rakyat Palestin. Mereka ditindas dalam segenap aspek dan ketinggalan dalam arus globalisasi dan kemodenan dunia.

Rakyat Palestin ditindas di tanah air sendiri. Kemerdekaan dan kebebasan milik mereka dirampas dengan zalim dan kejam oleh pendatang yang tidak pernah mempunyai hak di tanah tersebut. Inilah realiti tidak masuk akal yang perlu dihadapi oleh komuniti Palestin. Dunia juga menyaksikan pelbagai sejarah-sejarah hitam bagi Palestin seperti Perang Enam Hari 1967, Pembunuhan Beramai-ramai Qibya, Peristiwa Sabra dan Shatila dan penutupan Masjid Al-Aqsa. Namun kesemua episod hitam ini dilalui dengan tabah dan sabar oleh rakyat Palestin. Mereka sentiasa berpegang dengan ayat: “Hasbunallah wa ni’mal wakil, ni’mal maula wa ni’mal nasir”, yang bererti, “Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung”.

Ada pihak yang menyamakan keadaan populasi masyarakat di pulau selatan Johor seperti apa yang berlaku kepada masyarakat Palestin selepas Deklarasi Balfour. Kawasan yang sebelum ini dihuni oleh majoriti kaum Melayu itu secara perlahan-lahan berganti dengan bangsa lain selepas kedatangan pihak Inggeris. Kini, bukan sahaja kaum Melayu menjadi minoriti, malah mereka didiskriminasi sehinggakan sukar melaungkan azan di kawasan-kawasan perumahan di negara itu.

Tetapi persoalannya perlukah ianya seburuk Palestin untuk kita mula ‘buka mata dan pasang telinga’?

Rujukan:

1. Mohd Roslan Mohd Nor & Nor Dalila Zakaria. (2009). Perancangan Zionis ke Arah Pembentukan Negara Israel. Jurnal Usuluddin. (m/s. 232-233)

2. http://www.history.com/this-day-in-history/the-balfour-declaration

3.http://www.theweek.co.uk/89042/manchester-university-under-fire-for-event-celebrating-balfour-declaration

4. https://www.globalresearch.ca/palestine-the-1917-balfour-declaration-and-the-establishment-of-the-state-of-israel-in-1948/5522094

5.https://www.middleeastmonitor.com/20161102-explained-the-balfour-declaration/

Comments