Home Tempatan Dasar Baru Proton Diskriminasi Pengedar Bumiputera – PEKEMA

Dasar Baru Proton Diskriminasi Pengedar Bumiputera – PEKEMA

SHARE

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) tidak bersetuju dengan dasar baru Proton yang dilihat mendiskriminasikan pengedar Bumiputera di mana dasar baru itu mengarahkan pengedar menaik taraf daripada pusat 1S (jualan saja) kepada pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dalam tempoh setahun.

Ini kerana kebanyakan pusat 3S diuruskan oleh bukan bumiputera sementara pusat 1S kebanyakannya diuruskan oleh Bumiputera yang tidak mampu menaik taraf ke 3S dalam tempoh yang singkat.

Kata Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, “Orang yang menjaga perancangan dan pembangunan wakil jualan Proton diketuai oleh seorang bukan Bumiputera yang tentunya tidak mempunyai jiwa untuk membantu Bumiputera.”

“Beliau telah memberi pelbagai tekanan dan tidak memberi pilihan kepada wakil jualan bumiputera 1S dalam usaha untuk naik taraf kepada 3S. Tidak ada kompromi atau rundingan.”

Tambahnya lagi seperti dipetik dalam Malaysiakini, pengedar Bumiputera yang tidak mampu mengikuti dasar baru ini berkemungkinan akan diganti oleh pengedar bukan Bumiputera sepenuhnya.

“Kalau tak ikut syarat ini, mereka akan tukar dengan wakil jualan lain yang kemungkinan besar rata-ratanya adalah wakil jualan bukan Bumiputera.”

Selain itu, Datuk Zainuddin memberitahu bahawa tidak mudah untuk menaik taraf pusat 3S kerana banyak prosedur yang perlu dilalui termasuk mendapatkan pemilikan tanah bagi membina pusat servis tersebut.

“Di Lembah Kelang ini terutamanya, mana nak dapat tanah untuk bina bangunan sendiri atas tanah seluas 0.61 hektar (1.5 ekar) seperti ditetapkan pengurusan baru Proton ini.”

“Jelas tidak logik. Wakil jualan Bumiputera tidak mampu untuk menyewa atau membeli tanah 0.61 hektar (1.5 ekar) tersebut. Akhirnya di Lembah Kelang, saya percaya akan dimonopoli oleh wakil jualan bukan Bumiputera.”

Proton kini di bawah pengurusan baru yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Dr Li Chunrong sejak November lalu.

Baru-baru ini, Proton Holdings Bhd mengumumkan akan memberi potongan harga istimewa sehingga mencecah 10 peratus bagi kesemua model kenderaan keluarannya khusus untuk ahli-ahli Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia dan tindakan ini telah mendatangkan kemarahan rakyat Malaysia yang lain.

Pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping berkata, rakan kongsi Proton berpangkalan di China tidak sensitif dengan tawaran diskaun kepada masyarakat Cina Malaysia dan menunjukkan ia kurang memahami kepelbagaian budaya di Malaysia.

Comments