Home Tempatan Dapat pengiktirafan Jakim

Dapat pengiktirafan Jakim

SHARE

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan sebanyak 62 badan pensijilan halal dari 40 negara dan lima pihak berkuasa dari Kesatuan Negara Islam berjaya mendapat pengiktirafan halal Jakim setakat ini.

Pengarah Bahagian Hab Halalnya, Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, jumlah tersebut membuktikan pengiktirafan halal Jakim dipandang tinggi masyarakat antarabangsa kerana kredibiliti cemerlang badan itu.

“Sebelum ini, terdapat 59 badan pensijilan halal diiktiraf Jakim, dan sehingga Januari tahun ini, jumlah itu meningkat kepada 62 badan pensijilan daripada 40 negara luar.

“Masih terdapat beberapa lagi permohonan dari negara luar yang ingin mendapatkan pengiktirafan Jakim bagi badan pensijilan halal beberapa negara sedang diproses,” katanya pada sidang media penganjuran Konvensyen Badan Pensijilan Halal Antarabangsa ke-8, di Putrajaya, semalam.

Mengulas mengenai konvensyen itu, Sirajuddin berkata, ia akan diadakan pada 3 dan 4 April depan di Sama Sama Hotel, Sepang yang juga bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (Mihas).

“Jakim menyasarkan menarik penyertaan 800 peserta dari luar negara termasuk industri dalam negara yang ingin tahu mengenai pensijilan halal.

“Antara peserta itu disasarkan untuk menyertai program pertama dianjurkan Jakim bersama DagangHalal Sdn Bhd iaitu, Program Pembangunan Kapasiti Teknikal Halal Antarabangsa (IHTCDP),” katanya.

Sirajuddin berkata, IHTCDP merupakan perkongsian teknikal pembangunan halal yang membantu membangunkan juru audit badan pensijilan halal luar negara agar mempunyai kefahaman sama mengikut standard diamalkan halal Malaysia.

Beliau berkata, permohonan logo halal Malaysia untuk sektor pengilangan luar negara, mencatatkan 167 permohonan sejak 2008.

“Permohonan itu untuk pengilangan di luar, tetapi dipohon oleh syarikat dalam Malaysia.

“Tetapi pada masa akan datang, syarikat luar boleh memohon terus pensijilan halal Malaysia secara atas talian bagi memudahkan mereka,” katanya.

Sinar Online

Comments