Home Tempatan DAP Mahu Hapus Agensi Islam Persekutuan – Dr Kamarul Zaman Yusoff

DAP Mahu Hapus Agensi Islam Persekutuan – Dr Kamarul Zaman Yusoff

SHARE

Sintok, Kedah: Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus membuat dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Entiti-entiti politik ini seolah-olah sedang giat berusaha untuk memansuhkan agensi-agensi Islam pada peringkat Persekutuan walaupun telah ditegaskan beberapa kali oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, bahawa Malaysia adalah negara Islam. Kritikan tegas ini dikeluarkan oleh Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Selain daripada itu Dr Kamarul Zaman Yusoff turut menegaskan persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen DAP berkenaan kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sudahlah begitu, di sebalik pelbagai kenyataan DAP, dan PKR, yang menegaskan bahawa Malaysia adalah negara sekular, Perdana Menteri juga menyatakan dengan jelas dalam ucapan beliau semalam, pada perenggan 222, bahawa Malaysia adalah “negara Islam (yang progresif dan dinamik)”.

“Menurut kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari kepada Malay Mail Online, Ahli Parlimen itu mempersoalkan kewujudan JAKIM dan membuat dakwaan bahawa kewujudan JAKIM bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kerana negara tidak sepatutnya mencampuri urusan agama,” tegas Dr Kamarul Zaman lagi.

Menurut Dr Kamarul Zaman lagi, laporan Malay Mail online yang memuatkan kenyataan Zairil Khir Johari juga dikongsi oleh Lim Kit Siang sebagai tanda persetujuan ke atas kenyataan itu.

“DAP boleh dilihat menggunakan Ahli Parlimen beragama Islam untuk mengetengahkan agenda anti-Islamnya dan ini disokong oleh kepimpinan tertinggi parti,” kata Dr Kamarul Zaman lagi.

Kenyataan Zairil Khir Johari ini bukanlah kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Bendera ini mengenai hasrat memansuhkan JAKIM dan mempertikaikan kewujudan institusi Islam Kerajaan Pusat. Kewujudan JAKIM yang dilihat mampu menyelaras dan begitu instrumental dalam memastikan kemajuan Islam dapat dicapai dalam negara, selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi sasaran kritikan golongan pro negara sekular di dalam negara.

Comments