Home Tempatan DAP berbelah bahagi antara persepsi orang Islam dan penyokong tradisi

DAP berbelah bahagi antara persepsi orang Islam dan penyokong tradisi

Kesan selepas Lim Kit Siang menghulurkan salam perdamaian pada Hadi minggu lepas.

SHARE

KUALA LUMPUR: DAP hari ini berkata ia berbelah bahagi antara menangani persepsi pengundi Islam terhadap parti dan penyokong tradisi, susulan cadangan memulakan kerjasama dengan PAS minggu lepas.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menyedari kemarahan dalam kalangan penyokong selepas Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan PAS untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Pada Ahad, Kit Siang menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PAS itu sekiranya Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersungguh mahu menyelamatkan Malaysia “daripada menjadi kleptokrasi dunia”.

“Adakah Hadi sedia membuat komitmen itu,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.

PAS dan DAP memutuskan kerjasama susulan perbalahan tentang matlamat PAS melaksanakan undang-undang Islam di Kelantan. Perpisahan itu membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, yang turut dianggotai PKR.

Teresa berkata DAP perlu mendekati masyarakat Melayu yang menurutnya diperdaya pemimpin PAS.

“Pemimpin PAS menghentam pemimpin DAP bertubi-tubi, melempar pelbagai macam dakwaan. Mereka juga menyalahkan kami kononnya menghalang parti pembangkang bekerjasama,” katanya kepada pemberita hari ini di pelancaran video ucapan Tahun Baru Cina.

Ucapan Teresa tahun ini menyindir politik semasa, 3 tahun lepas video ucapan Tahun Baru Cina beliau membawa kepada tuduhan hasutan yang kemudian ditarik balik.

Dalam video itu, Teresa dituduh menyemarakkan kebencian kaum kerana mengkritik pemimpin kerajaan.

Klip 6 minit tahun ini, bertajuk “Tangkap Ayam”, memaparkan pemimpin DAP Ng Sze Han dan Ng Tien Chee, pemimpin Amanah Khalid Samad dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Kontroversi atau tidak bergantung kepada sambutan penonton. Kami tak merujuk pada sesiapa secara khusus, hanya tangkap ayam,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama dengan PAS, Teresa berkata ia bergantung kepada “respon” PAS.

Namun begitu Teresa berkata DAP tetap dengan pendirian membantah matlamat PAS menubuhkan negara Islam.

“Kami amat jelas dalam hal itu.

“Bahkan, parti komponen BN di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak turut menyokong pandangan kami. Kami berkumpul demi Perlembagaan Persekutuan.”

Free Malaysia Today

Comments