Home Tempatan DAP 52 Tahun : Harapan Generasi Melayu Muda Ahli DAP

DAP 52 Tahun : Harapan Generasi Melayu Muda Ahli DAP

SHARE

Pulau Pinang: Dakwaan Pemimpin Melayu DAP samada lelaki atau perempuan yang dikatakan “bagai lembu dicucuk hidung” yang terpapar di media-media sosial oleh sesetengah pihak seakan hampir benar dan tepat.

Tuduhan-tuduhan yang mengatakan pengambilan mereka hanya bagi tujuan memenuhi kuota dalam DAP bagi memancing lebih ramai pengikut Melayu untuk turut serta dalam parti tersebut, dilihat seperti ada kebenarannya apabila majoriti daripada mereka tidak berani bersuara dan mengeluarkan sebarang pendapat tanpa memperolehi keizinan dari ahli senior parti.

Nama-nama pemimpin-pemimpin wanita dan lelaki DAP seperti Syefura Othman (Rara), Syerleena Rashid, Sheikh Omar Ali, Edry Faizal, Tarmizi Anwar, Dyana Sofea, Jamila@Melati Rahim dan beberapa orang lagi yang dahulunya kelihatan berkaliber, bijak pandai dan lantang bersuara, kini seakan-akan hanya berani mengeluarkan pendapat setelah mendapat keizinan “boss-boss” besar DAP.

Sheikh Omar Ali contohnya, ketika diminta mengulas mengenai pandangan beliau terhadap peranan dan harapan mereka sebagai ahli Melayu dalam DAP sempena 52 tahun penubuhan DAP sendiri, membuat pengakuan bahawa beliau tidak berani mengeluarkan sebarang pendapat kerana takut dimarahi “boss”.

Dia yang juga bekas exco Pemuda PAS Johor sebelum beralih arah dengan alasan kecewa, sebelum berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor dan kini merangkap pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong itu seolah-olah patah taring harimaunya ditundukkan DAP apabila menyertai parti tersebut.

“Saya faham, tetapi setelah berbincang dengan kawan-kawan DAP saya, kami putuskan untuk tidak menjawab apa-apa soalan media mengenai apa jua isu yang dibangkitkan berhubung DAP”, katanya.

Jawapan ini diberikan setelah pertanyaan tentang pandangan peribadinya mengenai perjuangan anak Melayu sepertinya dalam parti yang berusia.

Edry Faizal yang kini menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP di Selangor juga menolak untuk bersuara atas alasan terpaksa menolak permintaan untuk ditemubual hanya kerana persepsi negatif terhadap media umum yang bukan Pro DAP.

Syerleena Rasyid, Dyana Sofea, Syefura dan Melati Rahim juga tidak memberikan kerjasama yang baik apabila media cuba menghubungi mereka berkenaan harapan dan perjuangan anak-anak Melayu dalam DAP.

Mereka ini kebanyakannya bersikap demikian atas alasan tidak berani untuk mengeluarkan pendapat peribadi walaupun untuk memuji parti DAP yang disertai mereka itu.

Comments