Home Tempatan Dana Penganjur Filem GAY Pulau Pinang, Exco Agama Beri Penjelasan

Dana Penganjur Filem GAY Pulau Pinang, Exco Agama Beri Penjelasan

SHARE

PULAU PINANG: Persoalan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada menyumbangkan dana sebanyak RM100,000 kepada Penangpac atau tidak sepatutnya tidak timbul, tegas Exco Agama Islam Pulau Pinang, Dato` Abdul Malek Kassim.

Menurutnya, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi sumbangan kepada pelbagai organisasi, agensi termasuk kepada mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membuat permohonan berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada menyumbangkan dana sebanyak RM100,000 kepada Penangpac pada tahun lepas, syarikat yang mencetuskan kontroversi apabila cuba menyiarkan sebuah filem berunsur LGBT bertajuk ‘Lost In Paradise’ di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (Penangpac) di sini, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, sepatutnya tidak timbul persoalan lagi berhubung perkara ini kerana beliau sudah pun memanggil pihak Penangpac dan menggesa mereka membatalkan tayangan filem berkenaan.

Beliau mengaku tidak tahu menahu tentang perkara tersebut sehinggalah pada tarikh tayangan itu sendiri iaitu pada 11 Julai 2017.

“Lagipun, saya hanya mengetahui rancangan mengenai perkara itu pada 11 Julai 2017 iaitu pada hari sama sebelum bermulanya tayangan filem berkenaan dilangsungkan,” katanya.

“Kalau ada permintaan dan permohonan kita akan bagilah kepada mereka yang memerlukan jadi saya tidak mahu panjangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, penyumbangan dana kepada NGO dan institusi ini akan diberi terutamanya NGO-NGO, iaitu pihak yang paling banyak mendapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sambil menepis tohmahan yang cuba mengaitkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai penyokong gerakan LGBT beliau menambah, “Persoalan seumpama ini merupakan satu perkataan yang tidak adil dan berniat jahat.”

“Sudah saya jelaskan setiap permohonan dana dari pihak-pihak yang terlibat akan dikaji untuk tujuan apa sebelum diluluskan sepenuhnya peruntukan kepada mereka, soal ke mana mereka akan gunakan peruntukan tersebut itu diluar pengetahuan kami,” tegas beliau.

Menurutnya, umum sudah sedia maklum bahawa beliau sendiri sudah menghantar surat rasmi kepada mereka termasuk menjemput pihak Penangpac bagi membincangkan dengan mereka berhubung tayangan filem berkenaan dan mereka (Penangpac) juga sudah bersetuju untuk tidak meneruskan tayangan filem berkenaan termasuk bersetuju untuk dibatalkan.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini baru-baru ini melaporkan Pengurus Pentas Penangpac, Arnold Hooi sebagai berkata bahawa tayangan filem ‘Lost In Paradise’ dibatalkan penganjur kerana masalah berkaitan dengan CD filem tersebut.

Comments