Home Tempatan Dakwaan 300,000 Penduduk India Tidak Miliki Kewarganegaraan Cerita Dongeng – PM

Dakwaan 300,000 Penduduk India Tidak Miliki Kewarganegaraan Cerita Dongeng – PM

SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak hari ini menolak dakwaan pembangkang kononnya terdapat seramai 300,000 kaum India yang tidak mempunyai kerakyatan.

Menurut laporan portal Bernama, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, dakwaan tersebut hanyalah pembohongan semata-mata memandangkan hanya kira-kira 2,500 sahaja permohonan yang diterima daripada kaum India di negara ini yang tidak memiliki kewarganegaraan termasuk mereka yang lahir sebelum kemerdekaan negara serta kelahiran tidak didaftarkan menerusi kempen Mydaftar Mega yang dilaksanakan kerajaan.

“Menerusi inisiatif MyDaftar yang dijalankan ke seluruh pelosok negara, tidak ada 300,000 ‘stateless Indian’ sebagaimana yang diuar-uarkan dan dijaja hingga ke Parlimen Westminster kononnya kita menganiaya kaum India di negara ini.”

“Ini cerita dongeng. Kita (kerajaan) hanya mendapat sebanyak 2,500 permohonan sahaja (untuk dokumen kerakyatan bagi kaum India). Dakwaan ini sama seperti dakwaan bahawa kita (kerajaan) telah membawa masuk seramai 40,000 pengundi Bangladesh untuk pilihan raya yang lalu, dakwaan negara akan bankrap dan banyak lagi dakwaan tidak berasas,” kata beliau sewaktu sesi penyampaian dokumen kelulusan kerakyatan kepada kaum India di Wisma Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan pimpinan beliau komited untuk menyelesaikan isu kerakyatan melibatkan masyarakat India di negara ini dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di bawah kendalian Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang melaksanakan inisiatif MyDaftar sejak 2011.

Inisiatif MyDaftar Mega dilaksanakan pada awal tahun ini selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan di kalangan masyarakat India secara sepenuhnya.

Seramai 177 penerima Surat Kelulusan Kewarganegaraan terdiri daripada masyarakat India yang lahir sebelum kemerdekaan negara, kelahiran tidak didaftarkan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri menerima surat berkenaan hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan pemimpin parti mewakili kaum India termasuk Parti Progresif Penduduk ( MyPPP), Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) dan Makkal Sakti.

Comments