Home Tempatan DAESH: `Jangan biar nasi jadi bubur’ – KPN

DAESH: `Jangan biar nasi jadi bubur’ – KPN

SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan mencegah elemen keganasan atau militan di negara ini adalah langkah paling tepat yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membendung kemungkinan sebarang serangan.

Justeru masyarakat di negara ini disaran untuk tidak mempertikaikan inisiatif awal oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, menerusi tangkapan terhadap sebarang elemen pengganas di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata hasil daripada tindakan mencegah dengan lebih awal sebenarnya dapat menjamin keselamatan rakyat dan negara daripada sebarang ancaman kumpulan pengganas.

“Itulah sebabnya saya tekankan tindakan PDRM adalah mengambil langkah mencegah daripada berlakunya kejadian tidak diingini dan pada masa itu ‘nasi sudah menjadi bubur’.

“Buat masa ini, antara langkah yang kita telah ambil adalah mengetatkan kawalan keselamatan terutama di perairan yang bersempadan dengan negara jiran dan meningkatkan jumlah anggota berpakaian biasa di lokasi berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, langkah menangkap ratusan individu yang disyaki terbabit dengan elemen DAESH sememangnya memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam perisikan yang dimiliki oleh E8 PDRM.

“Kita juga sentiasa berkongsi maklumat dengan pasukan polis negara jiran dalam usaha mengenalpasti setiap rangkaian mereka yang wujud di rantau Asia Tenggara khususnya.

“Selanjutnya kita akan berusaha memastikan negara kita bebas dari sebarang ancaman yang cuba ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk sel-sel atau rangkaian DAESH yang masih ada,” katanya.

Khalid mengulas insiden pengeboman di stesen bas di Kampung Melayu, Jakarta Timur, malam semalam yang mengorbankan tiga pegawai polis serta dua pengebom berani mati selain mencederakan 11 yang lain.

Katanya, PDRM sentiasa memantau sebarang kejadian serangan berkaitan elemen pengganas yang berlaku di negara jiran.

Berita Harian

Comments