Home Tempatan Cubaan gugat kesucian Islam, perkara sensitif

Cubaan gugat kesucian Islam, perkara sensitif

SHARE
Abdul Aziz Abdul Rahman

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Cada­ngan menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan perlu ditolak kerana ia boleh mengganggu-gugat kesucian agama Islam dan perkara-perkara sensitif yang terkandung dalam Perlembagaan berkenaan.

Pengerusi Biro Perlembagaan Majlis Perundingan Melayu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, tiada keperluan mendesak melakukan perkara berkenaan kerana Rukun Negara adalah moto atau cogan kata yang perlu dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.

“Tidak perlu sebab ia akan menimbulkan pertelingkahan dengan maksud yang terkan­dung dalam Perlembagaan. Contohnya, prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan jika disemat dalam Perlembagaan Persekutuan akan memberi isyarat bahawa semua warganegara Malaysia mesti mempercayai Tuhan.

“Oleh itu, tiada warganegara boleh menjadi ateis atau tidak percaya kepada Tuhan. Persoalannya adakah golongan ini akan memaksa puak ateis ini mempercayai Tuhan dan beragama kerana Islam memberi kebebasan kepada orang bukan Islam mempercayai apa sahaja agama mereka ataupun tidak beragama.

“Malah, cadangan itu juga boleh membuka ruang kepada orang ramai mempersoalkan perkara-perkara sensitif seperti yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, kewarganegaraan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Rencana Muka 6 dalam Mingguan Malaysia oleh Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz mengenai cadangan sekumpulan masyarakat sivil untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Per­sekutuan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kesan memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan mungkin boleh dilihat sebagai jalan belakang untuk memberi ‘kuasa perundangan’ kepada Rukun Negara.

“Perkara ini mungkin penting bagi golongan yang mendambakan gerakan ini kerana dalam mukadimah Rukun Negara terdapat perkataan ‘liberal’ dan ‘demokrasi’ yang langsung tidak dapat kita jumpa dalam Perlembagaan Persekutuan ketika ini.

“Bahkan, Kesopanan dan Kesusilaan juga mungkin menjadi medan yang diperdebatkan ke­rana golongan liberal ini sa­ngat mempercayai kerajaan tidak boleh mencampuri urusan mo­ral seseorang.

“Malah, ‘menjenayahkan’ perlakuan tidak bermoral juga ditentang habis-habisan oleh golongan liberal ini yang turut memperjuangkan perlakuan seks songsang dan perkahwinan sejenis,” katanya lagi.

utusan online

Comments