Home Kolumnis Coretan Dr Nurhidayah

Coretan Dr Nurhidayah

SHARE

Syukur alhamdulillah saya diberi peluang, ruang dan kesempatan bagi mencoretkan sisi-sisi diri dalam ruangan yang diberi. Kata orang, tak kenal maka tak cinta, maka dengan rendah hatinya izinkan saya berseloroh tentang diri ini. Nama diberi ialah Nur Hidayah,berusia 26 tahun dan berasal dari Bandaraya Kuala Lumpur. Ketika ini sudah hampir 2 tahun berkhidmat sebagai seorang doktor. DOKTOR GIGI. Melihat mulut anda semua, itulah tugas saya.

Pelbagai cerita boleh saya dapati hanya melalui mulut anda. Sedari kecil sememangnya amat suka membaca dan bertanya sehinggakan ibu mendoakan saya menjadi seorang pensyarah atau saintis. Mendapat pendidikan awal tika bangku sekolah rendah dan menengah di Kuala Lumpur. Oleh kerana amat minat dengan subjek sains, maka laluan sains telah dipilih ketika melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi di Semenanjung Malaysia, melalui program satu tahun sebelum mengambil ijazah sarjana muda.

Alhamdulillah agaknya berkat masinnya mulut arwah ibuku, saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus Doctor of Dental Surgery (DDS) di sebuah Universiti Awam dan ditaja sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Tak dapat jadi saintis atau pensyarah, jadi doktor gigi pun dekat jugalah ya. Mengapa laluan ini yang saya pilih? Ramai yang bertanya kenapa tidak menjadi doktor perubatan?

Semasa di matrikulasi saya banyak mengkaji karier yang bakal dipilih. Oleh kerana saya anak sulung yang bakal berbakti kepada keluarga, kerjaya itu haruslah mengizinkan saya mendapat kerja yang stabil, tetap dan fleksibel masanya untuk bersama keluarga. Inilah pilihanku. Seperti ramai di luar sana, sangkaan saya bahawa sebagai seorang pengamal pergigian, saya hanya akan melihat dalam mulut pesakit akan tetapi sangkaan saya meleset sama sekali.

3 tahun pertama dihabiskan dengan kuliah dan praktikal bagi topik perubatan. Seluruh sistem tubuh badan dan segala jenis penyakit harus kami telaah. Pentingnya ilmu perubatan adalah bagi memastikan bahawa kami, yang pertama dapat mengenalpasti penyakit tertentu sekiranya ia muncul di dalam rongga mulut dahulu. Yang kedua, rawatan bagi pesakit yang mempunyai penyakit tertentu adalah berbeza dengan mereka yang sihat.

Dan yang ketiga, ubat yang diberi juga harus sesuai dengan keadaan pesakit tersebut. 6 tahun 6 bulan dihabiskan untuk saya layak menjadi seorang pengamal pergigian. Tugasan dan tanggungjawab saya bukan sahaja merawat gigi, malahan melihat kes kanser kepala dan mulut, penyakit dalam mulut serta membuat pelbagai aktiviti dan promosi penjagaan mulut bagi mencegah penyakit pergigian.

Kami juga merawat kes di mana tulang rahang atau muka yang retak/patah akibat kemalangan atau sebagainya. Semua keputusan perawatan dibuat dengan berpaksikan bukti yang kukuh dan ampuh melalui penyelidikan yang rapi. Sebagai seorang Muslim, saya amat berpegang dengan prinsip disiplin ilmu dimana pembuktian adalah antara asas sesuatu ilmu itu. Sedangkan Allah s.w.t sendiri berbicara di dalam Quran “tidakkah kita befikir, tidakkah kita melihat kejadian alam sebagai BUKTI kebesaranNya?”

Acapkali kita juga diingatkan untuk memerhati, berfikir dan melihat bukti, untuk bertanya dengan mereka yang lebih berilmu. Semoga saya istiqamah dengan prinsip tersebut dan semoga coretan perkongsian saya di masa hadapan akan membawa manfaat buat anda semua dan semoga ilmu yang dikongsi dapat membantu kita menjadi lebih sihat dan produktif! Insya Allah. Wasalam.

Comments