Home Tempatan Cip khas akan diguna kesan lokasi jemaah musim haji

Cip khas akan diguna kesan lokasi jemaah musim haji

SHARE

BANGI, 8 Syaaban 1438H, Jumaat – “Teknologi cip khas yang dapat mengesan lokasi jemaah semasa menunaikan ibadat haji di Tanah Suci akan diuji penggunaannya pada musim haji tahun ini,” kata Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, di peringkat awal, cip itu akan dipasang pada lencana pengenalan diri 480 jemaah.

“Ini merupakan projek perintis untuk kita menguji keberkesanan penggunaannya pada tahun ini. Melalui teknologi itu, kita akan dapat mengesan mereka sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan penggunaan cip itu akan dikendalikan oleh 15 kakitangan teknologi maklumat (IT) daripada Theta Edge Bhd, anak syarikat TH.

Syed Saleh berkata, sejak lima tahun lalu, penggunaan teknologi telah banyak dibangunkan oleh TH, misalnya dari segi keselamatan dan pengiraan jumlah jemaah haji yang lebih tepat yang diperkenalkan tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata, TH akan menambah jumlah petugas iaitu 630 orang berbanding 600 orang sebelum ini bagi memenuhi keperluan jemaah yang lebih ramai.

Katanya, kuota haji rakyat Malaysia tahun ini ditambah kepada 30,200 orang berbanding 27,900 orang sebelumnya.

“Oleh itu, beberapa perancangan lain turut dibuat untuk berdepan peningkatan jumlah jemaah, seperti menyediakan bangunan penginapan di Makkah dan Madinah, pesawat dan pembimbing jemaah,” katanya. – Bernama

Comments