Home Antarabangsa China perketat kawalan ke atas agama

China perketat kawalan ke atas agama

SHARE

BEIJING: Kerajaan China semakin mengetatkan kawalan ke atas agama sejak diperintah Presiden Xi Jinping empat tahun lalu, menurut laporan baharu.

Pihak berkuasa juga lebih memberi tumpuan kepada pemantauan elektronik dan menyasarkan platform media sosial yang digunakan golongan berkenaan untuk melepasi tapisan atas talian.

Laporan yang dikeluarkan hari ini menyatakan, pentadbiran Xi menyaksikan peningkatan keseluruhan dalam penindasan ke atas agama dan empat komuniti menanggung beban itu iaitu penduduk Islam Uighur dan Hui, penganut Kristian Protestant dan Buddha Tibet.

Aktiviti keagamaan yang diamalkan di seluruh dunia seperti berpuasa pada bulan Ramadan, boleh dihukum keras di China, menurut laporan bertajuk ‘The Battle for China’s Spirit: Religious Revival, Repression, and Resistance under Xi Jinping’ yang dikeluarkan pemerhati hak asasi beribu pejabat di Washington, Freedom House.

Laporan menganalisis status tujuh kumpulan agama merangkumi 350 juta penduduk di negara itu iaitu Buddha, Tao, Katolik, Protestant, Islam, Buddha Tibet dan Falun Gong yang sudah diharamkan di China sejak 1999.

China, secara rasmi cuma mengiktiraf agama Buddha, Katolik, Protestant, Tao dan Islam.

Penulis laporan, Sarah Cook, berkata: “Skala dan tahap kawalan ke atas agama, dan peningkatan penganiayaan dan penindasan menjejaskan masyarakat dan politik China jauh melepasi dasar agama itu sendiri.”

Berita Harian

Comments