Home Tempatan Ceramah Tanpa Tauliah, Tindakan JAWI Tepat – Dato Zainul Rijal Abu Bakar

Ceramah Tanpa Tauliah, Tindakan JAWI Tepat – Dato Zainul Rijal Abu Bakar

SHARE

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak melakukan kesalahan kerana Akta Jenayah Syariah memperuntukkan kesalahan mengajar tanpa tauliah dan bersubahat atas kesalahan memberi ceramah agama tanpa tauliah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11, akta yang sama, demikian menurut Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Dato` Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurutnya, JAWI hanya menegakkan undang-undang tersebut sahaja dan tidak melampaui kuasa yang ada.

Beliau berkata, semakan kehakiman (Judicial Review) boleh dilakukan di Mahkamah Sivil bagi apa-apa tindakan yang diambil oleh kerajaan yang didakwa tidak munasabah ataupun prosesnya tidak betul.

“Oleh itu, tindakan JAWI di Wilayah Persekutuan mungkin boleh dicabar di Mahkamah Sivil,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Datuk Zainul Rijal berkata, jika ia berlaku di Selangor, semakan kehakiman ini perlu dilakukan di Mahkamah Syariah kerana DUN Selangor pada 2016 telah meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam dengan memasukkan bidang kuasa khas Mahkamah Syariah untuk semakan kehakiman terhadap mana-mana tindakan pentadbir agama Islam.

Terdahulu, Pengarah merangkap Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa sebelum ini telah diperintahkan menjawab tuduhan beliau bersubahat dengan wartawan Turki, Mustafa Akyol dengan mengadakan forum agama tanpa tauliah di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

Beliau berdepan dengan tuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Kesalahan Syariah 1997 (Wilayah Persekutuan) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Persoalan mengenai apakah wajar semakan penghakiman ke atas pengharaman buku oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilakukan oleh Dr Farouk Musa, Datuk Zainul Rijal berkata, Dr Farouk Musa berhak memfailkan semakan kehakiman terhadap pengharaman bukunya.

“Namun, mahkamah perlu meneliti permohonan tersebut sama ada berasas atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana ia berkaitan dengan persoalan ajaran agama Islam, maka persoalan hukum syarak mestilah menjadi teras kepada perbicaraan itu nanti, sama ada ia bertentangan dengan ajaran Islam atau tidak.

Kata beliau, persoalan hak asasi tidak boleh mengambil tempat lebih utama berbanding persoalan agama.

“Hak asasi bukanlah suatu hak yang tidak mempunyai batasan, ia boleh ditentukan hadnya oleh undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, jika Dr Farouk Musa menang dalam perbicaraan kes itu nanti, sudah tentu bukunya boleh diedarkan dan pihak Jawi tidak boleh meneruskan siasatan.

“Namun, sekiranya sudah ada pertuduhan di Mahkamah Syariah terhadap beliau, Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan terhadap perbicaraan Mahkamah Syariah berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Comments