Home Tempatan CEO IKSIM Sambut Baik Cadangan G25, Kaji Kenapa Sistem Pendidikan Gagal Bentuk...

CEO IKSIM Sambut Baik Cadangan G25, Kaji Kenapa Sistem Pendidikan Gagal Bentuk Akhlak Mulia

SHARE

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof Mahamad Naser bin Disa, ketika ditanyakan pendapat berkenaan cadangan kumpulan G25 yang menawarkan diri untuk terlibat dengan proses siasatan kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini, menyambut baik hasrat tersebut dengan komen berikut.

“Alhamdulillah, cadangan kumpulan G25 itu harus disambut baik oleh semua pihak. Perkembangan siasatan terbaru pihak polis berkenaan insiden kebakaran tahfiz tersebut, menunjukkan ada sesuatu yang sangat-sangat tidak kena dengan sistem pendidikan awal anak-anak kita. Ia gagal membentuk anak-anak kita untuk dibentuk dengan akhlak mulia.

Bayangkan, apabila berlaku sindir menyindir yang kemudiannya berakhir dengan trajedi seperti ini? Ia benar-benar tidak masuk akal!”

Dato’ Prof Mahamad Naser turut menambah, dari kalangan anggota G25, terdapat mereka yang bertanggungjawab menggubal dasar pendidikan negara semasa mereka berkhidmat dengan kerajaan dahulu.

Kesemua saspek yang ditahan, membesar di dalam sistem pendidikan yang digubal semasa ahli G25 ini berkhidmat. Jadi, mereka tidak boleh sesuka hati berlepas diri dari tanggungjawab ini.

Penawaran diri mereka untuk terlibat sama dengan penyiasatan insiden ini, haruslah disambut baik supaya mereka boleh melihat secara retrospektif punca bagaimana remaja yang seharusnya sedang tekun belajar berubah menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Dato’ Prof Mahamad Naser juga menegur pihak-pihak seperti kumpulan G25 dan sesetengah individu yang cepat mengkritik dan mentohmah sistem pendidikan tahfiz yang dikatakan tidak sempurna dan dhaif.

“Saya ingin bertanya, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menghentikan segala bentuk bantuan kewangan kepada sekolah agama seperti ini? Sistem ini dhaif kerana ada di kalangan mereka-mereka sejak di zaman Tun Mahathir, membuat keputusan menghentikan bantuan kewangan dari kerajaan kepada Sekolah Agama Rakyat.

Dato’ Prof Mahamad Naser turut menambah, sistem yang dikatakan dhaif pada hari ini adalah berpunca dari perbuatan mereka-mereka yang bertanggungjawab dengan dasar pendidikan negara di dalam pentadbiran lepas.

“Jadi, amatlah tepat untuk kumpulan G25 ini menyertai pasukan siasatan tersebut supaya mereka boleh bermuhasabah, bagaimana keputusan-keputusan yang dibuat mereka pada masa lepas, menghasilkan kepincangan sepertimana yang kita lihat berlaku dengan terbentuknya remaja-remaja dengan perwatakan korup akhlak dan akidah dalam insiden ini.”

Comments