Home Tempatan Cantas filem ada babak LGBT sebelum jadi barah dalam masyarakat

Cantas filem ada babak LGBT sebelum jadi barah dalam masyarakat

SHARE

AKHIRNYA filem “Beauty and the Beast” diluluskan juga tayangannya dengan pengkadaran PG 13. Ia bermaksud Penjaga 13 iaitu kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan menonton melainkan ditemani oleh seorang dewasa. Filem tersebut akan ditayangkan bermula 30 Mac 2017.

Setelah institusi, badan berkanun dan penguatkuasa di Malaysia gagal melaksanakan peranan memelihara kepentingan rakyat secara umum, kini kita terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kekuatan institusi kekeluargaan.

Seorang ibu atau bapa yang menyakini bahawa tabiat kecenderungan seksual luar tabi’ie (LGBTQ) tidak dibenarkan dalam Islam, ibu bapa sepatutnya tidak memberi keizinan pada seisi keluarganya untuk menonton filem seumpama itu. Walaupun sudah dikadarkan PG13, ibu bapa harus memainkan peranan memberi didikan nilai akidah dan akhlak yang bertepatan dengan Islam.

Persoalannya bukan sekadar menonton Beauty and the Beast, anak-anak akan terjebak menjadi gay.

Bukan juga soal iman bak senipis kulit bawang.

Juga bukan “keluarga saya ok saja menonton Beauty and the Beast, apa yang diriuhkan sangat ni.”

Persoalannya ialah sudah jelas dalam Al-Quran tabiat homoseksual itu tidak dibenarkan dalam Islam. Lihat saja apa yang terjadi kepada kaum Lut. Bahkan kalau ditanyakan kepada penganut agama lain juga tidak membenarkannya. Pelbagai keburukan kesan homoseksual diketahui umum. Apakah kita masih mahu memberikan sokongan?

Kata-kata bidalan “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit” sangat bersesuaian dan berkaitan hal kebaikan dan juga keburukan. Sedikit kejahatan atau keburukan yang cuba ditonjolkan pada peringkat awal, sekiranya tiada tentangan (ini tanda penerimaan sebenarnya) akan membuka jalan kepada penonjolan yang lebih berani hingga ianya menjadi sesuatu yang normal dalam masyarakat.

Itulah sebabnya Rasulallah memberi amaran, “sekiranya melihat kemungkaran, hendaklah mengubah menggunakan tangan (usaha fizikal). Kalau tidak mampu hendaklah mengubah menggunakan lidah (usaha lisan). Kalau tidak mampu hendaklah mengubah menggunakan hati tetapi itu adalah selemah-lemah iman.”

Ya, Rasulullah kata sekadar memendam ketidaksetujuan dalam hati adalah selemah-lemah iman. Bayangkan kalau kita setuju atau tidak kisah, adakah mungkin iman kita sebenarnya telah hilang?

Jadi akhirnya, persoalan ini bukan berkenaan “iman saya”, “keluarga saya”, “saya tak terjebak pun” dan seumpamanya. Ianya adalah berkenaan “iman kita semua”, “keluarga kita semua”, “kita semua tidak mahu terjebak.”

Sebagai seorang Muslim, kita juga prihatin apa yang mungkin berlaku kepada orang lain, keluarga lain dan masyarakat Islam secara umumnya. Keprihatinan ini timbul terutamanya dalam usaha kita menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sebaik mana pun kita menjaga anak-anak dan keluarga kita, sekiranya masyarakat sudah dicemari dengan tabiat LGBTQ, suatu hari nanti keluarga kita akan terasa tempiasnya atau keluarga kita akan diresapi dengan anasir yang tidak di ingini ini. Bagaimana boleh diresapi? Sudah pasti mustahil untuk mengurung anak-anak kita di rumah. Anak-anak akan keluar bersekolah, bekerja, berkahwin dan bersosial dalam masyarakat.

Apakah kita pasti kawan-kawan anak kita atau bakal menantu kita tidak dibesarkan dalam keluarga LGBTQ. Yang lebih teruknya mungkin bakal menantu kita seorang yang biseksual.

Jadi sebelum berlakunya segala macam kemudharatan, sudah pasti berpegang kepada panduan yang ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah menjadi pilihan kita sebagai seorang Muslim. Pencegahan sudah pasti lebih baik daripada merawat.

Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya amat mengharapkan filem Beauty and the Beast bahkan mana-mana filem sekalipun tidak ditayangkan di Malaysia terutamanya jika babak “gay moment” itu tidak dicantas.

Zaharah M Nor
Aktivis Wanita Isma, Cawangan Seremban

Comments