Home Tempatan Cadangan pindaan Akta 355 pecah tembok sekularisme

Cadangan pindaan Akta 355 pecah tembok sekularisme

SHARE

BANGI, 15 Jamadilawal 1438H, Ahad – Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 555 yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah pemecah tembok sekularisme yang cuba menyekat keindahan nilai-nilai Islam melalui pelaksanaan syariatnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz berkata, meskipun cadangan dan usahanya tampak kecil sahaja, tetapi ia begitu signifikan dan vital.

Bahkan dengan itu, ia turut menjadi pemecah tembok itu dari sudut undang-undang.

“Begitulah halnya pindaan Akta 355 kali ini. Untuk kali pertamanya dalam sejarah perundangan moden negara, pindaan ke atas Akta Jenayah Syariah ini telah menepati kehendak Islam sebagaimana dituntut di dalam al Quran.

“Hukuman ke atas jenayah dalam undang-undang negara walaupun tidaklah ditolak oleh agama, tetapi ia kekal bersifat sekular totok yang langsung mengetepikan hak agama untuk bersuara lebih tinggi dalam jenayah dan hukumannya yang tertentu seperti hukum hudud dan qisas,” katanya di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, sekiranya masyarakat Islam berbangga dengan sistem-sistem Islam yang sudah berjaya diterapkan ke dalam pelbagai aspek kehidupan di negara ini, justeru, melalui kesepakatan umat yang tidak berbelah bagi, beliau menegaskan, inilah masanya satu lonjakan baru disempurnakan melalui pindaan Akta 355 ini.

“Perlu kita ulang-ulangkan bahawa usaha islah dan pembaikan untuk negara di samping pembantaian terhadap gejala buruk dan anasir jahat yang merosakkan negara seperti rasuah, pembaziran wang negara, dadah, jenayah dan sebagainya tidak akan mampu dikotakan kecuali dengan kesatuan umat.

“Negara yang rakyatnya mempromosi kebencian akan membantutkan usaha-usaha yang baik,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua yang menyokong untuk hadir ke Himpunan 355 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Februari ini di Padang Merbok.

Beliau berkata, pada mereka yang menyokong tetapi mempertikaikan keperluan himpunan, sokongan itu adalah benar dan dihargai, tetapi sokongan yang tidak didengari dan tidak boleh diukur kekuatannya adalah merugikan.

“Seperti yang saya tegaskan di atas bahawa Himpunan 355 bukanlah sekadar pernyataan sokongan sahaja, bahkan ia adalah satu respon dan tindak balas terhadap para penentang yang begitu bersungguh-sungguh dan bekerja keras menunjukkan kekuatan sokongan rakyat di pihak mereka.

“Ertinya wujud persaingan bagi mewujudkan gelombang sokongan di pihak masing-masing. Justeru sudah tentu mengadakan perhimpunan besar-besaran adalah satu jalan yang terbaik bagi menunjukkan kekuatan sokongan.

“Adalah jelas, Himpunan 355 adalah satu promosi kepada perpaduan umat yang hilang. Walaupun berbeza latar belakang dan cara, kita mesti berusaha mengurangkan konflik yang tidak perlu dan mendekatkan jurang dan jarak antara kita umat Islam.

“Negara kita di sebalik perpecahan pandangan politik masih menikmati keamanan secara amnya. Ia mesti kekal dipelihara dan harus dijadikan pemangkin ke arah usaha pembaikan Islami yang benar.

“Justeru sokongan yang amat kuat adalah diperlukan. Suara rakyat akan menjamin Islam dijulang di negara Malaysia tercinta ini. Himpunan 355 nanti adalah wadah besar yang akan menggemakan suara keramat rakyat yang menjunjung perintah Allah. Selamat berhimpun nanti di H355. Semoga usaha kita diredhai oleh Allah,” katanya.

Comments