Home Tempatan ‘Cadangan bekas menteri tutup semua tahfiz swasta jumud, beremosi

‘Cadangan bekas menteri tutup semua tahfiz swasta jumud, beremosi

SHARE

PORT DICKSON: Gabungan Persatuan Institusi al-Quran hari ini menyelar Tan Sri Zainuddin Maidin yang mencadangkan semua sekolah tahfiz ditutup ekoran kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang didakwa dipukul pembantu warden sehingga cedera.

Ahli gabungan itu, Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut berkata, cadangan bekas menteri penerangan itu bersifat emosi dan menunjukkan beliau kurang memahami Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan Islam ialah agama rasmi negara ini.

“Saya ingin mengulas dari segi Perlembagaan Malaysia, penubuhan sekolah tahfiz ini adalah hak untuk umat Islam. Islam adalah agama rasmi dan Islam sumber al-Quran. Tahfiz menjurus kepada menghafal al-Quran.

“Persepsi songsang Zainuddin untuk pecahkan kaum. Penubuhan sekolah tahfiz ini di bawah Majlis Agama Islam mengikut negeri. Apa yang dikatakan Zam itu kuno dan ketinggalan zaman.

“Zam terus kekal dahulu dengan sikap kuno, jumud sejak beliau menjadi menteri. Kita mahu satu siasatan dijalankan ke atas beliau, berikutan kita mendapati tindakan itu ada elemen untuh jatuhkan martabat Islam,” katanya pada sidang media di Hotel Lexis hari ini.

Gabungan Persatuan Institusi al-Quran itu turut dianggotai Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia, Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (Uruskop) dan Majlis Huffaz Kedah (Hesa).

Rabu lalu, Zainuddin menerusi catatan di blognya http://zamkata.blogspot.my menyarankan semua sekolah tahfiz swasta digantung atau ditutup serta-merta kerana sekolah itu bertumbuh secara liar, bersistem kuno dan tidak bertamadun yang mungkin membawa tragedi lebih besar.

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail minggu lalu untuk kecederaan yang dialami pada kakinya selepas didakwa dipukul pembantu warden asrama di sekolah tahfiznya di Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Pelajar 11 tahun itu terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong 2 kakinya bagi menghentikan jangkitan kuman daripada merebak dan beliau turut dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan memotong tangan kanannya, tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan jantungnya tidak stabil.

Beliau meninggal dunia beberapa jam kemudian, Rabu lalu.

Pembantu warden asrama di sekolah tahfiz itu yang didakwa memukul Thaqif dengan paip getah, kini direman polis sehingga esok dan dia didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Mustafa yang juga presiden Uruskop berkata, pengurusan sekolah tahfiz sekarang lebih moden dan terperinci sehingga mampu melahirkan ramai pelajar berjaya.

“Ramai pelajar keluaran sekolah tahfiz yang kini telah berjaya dan mempunyai pekerjaan baik, misalnya menjadi profesor, akauntan, ahli perniagaan yang menyumbang kepada ekonomi negara, juruterbang dan jurutera.

“Kita juga di sekolah tahfiz mempunyai aliran yang baik, misalnya kita menyediakan jurusan tahfiz dalam bidang agama dan jurusan tahfiz dalam akademik sains,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia, Maulito Mohd Dahlan mempertahankan kewujudan sekolah tahfiz, walaupun menerima kritikan pelbagai pihak susulan kematian Thaqif.

Katanya, sekolah tahfiz yang mula diasaskan pada 1946 semakin berkembang dengan jumlahnya kini mencecah 941 buah di seluruh negara, dengan 10,411 kakitangan dan lebih 100,000 pelajar.

“Sehubungan itu, saya memohon kepada semua pihak tidak salah anggap kedudukan sekolah tahfiz di dalam sistem pendidikan negara sehingga ada pihak yang menggesa sekolah ini ditutup.

“Masalah sosial dan salah laku yang dilakukan oleh pelajar bukan aliran tahfiz lebih ramai dan dahsyat.

“Misalnya, mengikut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat pada 2015, seramai 615 pelajar sekolah hamil hasil daripada persetubuhan luar nikah. Tiada seorang daripada mereka pun lepasan sekolah tahfiz.”

Beliau berkata, sekolah tahfiz tidak membawa kemudaratan, kejahatan atau menggalakkan keganasan.

“Kes kematian Thaqif merupakan pertama kali wujud dalam negara ini. Sewajarnya, kita tidak cepat menghukum dan perlu berlaku adil dengan memberi peluang kepada Kementerian Kesihatan dan polis dalam hasil siasatan mereka.

“Saya memohon semua pihak tidak memainkan sentimen ini kerana ianya melibatkan maruah sekolah tahfiz, guru, pelajar tahfiz serta maruah keluarga Thaqif,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments