Home Tempatan Cadang muzakarah bincang RUU 355

Cadang muzakarah bincang RUU 355

SHARE

KUALA TERENGGANU – Sekretariat Majlis Fatwa Kebangsaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dicadang mengatur Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi mengelak kekeliruan berhubung usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.

Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Amzad Hashim berkata, kebanyakan mufti-mufti negeri memberi sokongan terhadap pindaan tersebut, namun pro penentang RUU 355 telah berkongsi dan menyebarluaskan pandangan negatif mengenai perkara itu melalui pandangan dibuat segelintir mufti negeri lain.

“Satu-satunya mufti yang memberi isyarat negatif  berhubung usul pindaan Akta 355 hanyalah Mufti Perlis. Kerana beliau seorang, pandangan beliau disebar seluas-luasnya oleh media pro penentang RUU 355 sehingga seolah-olah menidakkan pendirian mufti-mufti negeri lain dan juga mufti wilayah.

“Kekeliruan disebarluaskan dan tindakan demi maslahah (kepentingan) awam khususnya umat Islam wajar diambil bagi membendung kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, sekretariat tersebut perlu mengambil tindakan segera mengatur salah satu dari dua mesyuarat tersebut sama ada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang boleh dilangsungkan dengan perintah Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ataupun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang boleh dibuat daripada masa ke semasa tanpa perintah Majlis Raja-Raja.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Kawasan Kuala Terengganu berkata, penyelarasan ini akan memberi nilai kepada pandangan mufti-mufti mengatasi nilaian subjektif yang berdasarkan persepsi.

“Ia juga boleh berlangsung tanpa tekanan masa dan perhatian orang dengan mengutamakan aspek ilmiah dan memberi ruang input dari kalangan pakar-pakar berkaitan.

“Ia boleh menjernihkan pemikiran umat Islam selain boleh memberi pedoman kepada ahli-ahli parlimen yang beragama Islam dalam menentukan sikap berhubung RUU 355,” katanya.

Amzad menegaskan usul RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada titah pembukaan Sidang Dewan Rakyat tahun lalu yang menitahkan agar mahkamah syariah diperkasa.

Jelasnya, usul tersebut mendapat perhatian dan sokongan ramai pihak sehingga kemuncaknya pada Himpunan 355 (H355) di Padang Merbok, 18 Februari lalu.

Sinar Online

Comments