Home Santai@menara Busking Sebagai Kerjaya

Busking Sebagai Kerjaya

SHARE

Pemuzik jalanan atau lebih dikenali sebagai Buskers semakin mendapat tempat dan kian diterima oleh masyarakat pada hari ini. Buskers kebiasaannya dapat dilihat di ibu kota dan bandar-bandar besar seperti Kuala lumpur serta kawasan pelancongan yang terkenal seperti Pulau Pangkor. Tugas mereka adalah untuk menghiburkan orang ramai dari jalanan, kompleks membeli belah hinggalah ke pentas yang berprestij sambil mencari sesuap nasi.

Namun tidak kurang juga yang menganggap mereka sebagai pengemis. Bukan itu saja, ada juga segelintir masyarakat yang mempunyai persepsi bahawa seniman jalanan adalah penagih dadah.

Sebagai initiatif untuk menempis segala tomahan masyarakat ke atas buskers ini, Kelab Penghibur Jalanan Malaysia ataupun MY Buskers Club (MYBC) telah pun ditubuhkan pada Disember 2012. Kelab ini juga bertujuan untuk menjaga kebajikan seniman jalanan disamping merancang untuk membina fenomena baru.

Muzik mereka bukan hanya untuk menjamu telinga semata-mata, malah ianya juga dapat menghidupkan suasana kota yang padat sekaligus dapat menceriakan suasana dan mewujudkan keadaan yang kurang memberi tekanan kepada warga kota dek kesibukan harian.

Media sosial juga menjadi saluran medium utama bagi buskers meluaskan pengaruh dan sekaligus dapat dikenali serata negara.

Bagi saya, bakat yang dilihat kebanyakan buskers ini memang tidak disangkal lagi. Saya sememangnya meminati bakat-bakat yang dipersembahkan oleh pemuzik-pemuzik jalanan ini sejak sebelum popularnya Caliph Buskers, Genji Busker dan sebagainya.

Menjadi seorang penghibur jalanan memerlukan minat, bakat dan juga keazaman serta niat dan ketahanan untuk terus menghibur dan menyuntik inspirasi kepada orang ramai.

Ketahuilah ada di antara buskers ini yang memiliki diploma, ijazah kejuruteraan muzik, awam, perundangan, perniagaan malah PHD, namun mereka memilih kerjaya ini sebagai salah satu sumber menjana pendapatan disamping memperkasakan pengalaman hidup. Mereka mempunyai jiwa usahawan dan aktivisme. Mereka bukan peminta sedekah yang meraih simpati orang ramai akan tetapi mencipta peluang melalui kebolehan dan kreativiti dengan cara yang tersendiri dalam mencapai impian dan matlamat hidup.

Berdasarkan maklumat, kini terdapat lebih 8 ribu ahli buskers di seluruh Malaysia. Penubuhan MY Buskers Club (MYBC) ini dilihat amat wajar dalam memperkasa pembangunan sosial agar mesej dan dakwah dapat disebarkan kepada orang ramai. Semoga Kelab Penghibur Jalanan Malaysia terus maju dalam membentuk buskers sebagai salah satu bidang kerjaya professional generasi kini dan akan datang.

Comments