Home Antarabangsa Bukti gas sarin digunakan

Bukti gas sarin digunakan

SHARE
Puluhan kanak-kanak turut terkorban dalam serangan senjata kimia di Khan Sheikhoun pada awal bulan lalu.

THE HAGUE – Ketua Pertubuhan Larangan bagi Senjata Kimia (OPCW), kelmarin mengesahkan keputusan ujian serangan senjata kimia di Syria menunjukkan penggunaan gas sarin atau bahan sama yang meragut sekurang-kurangnya 87 nyawa awal Mac lalu.

Menurut Ahmet Uzumcu, sampel daripada 10 mangsa termasuk tiga mayat di Khan Sheikhoun yang dianalisis di empat makmal mendapati, kesemua mereka terdedah dengan gas sarin atau bahan kimia sama.

“Butiran lanjut keputusan analisis makmal tersebut bakal menyusul, namun hasil ujian itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan,” katanya kepada delegasi Majlis Eksekutif OPCW.

Jelasnya, misi pencarian fakta yang ditubuhkan agensi pemantau senjata global itu, sedia untuk dihantar ke bandar yang menjadi sasaran serangan senjata kimia tersebut.

“Kumpulan tersebut akan melakukan temu bual dan mengumpulkan sampel,” ujarnya.

Difahamkan, keputusan itu menyokong ujian awal  makmal di Turki dan Britain.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault berkata, mereka juga bersedia untuk menerbitkan bukti yang menunjukkan rejim Presiden Bashar al-Assad menggunakan senjata kimia dengan sengaja dalam insiden serangan pada 4 April lalu. – Agensi

Sinar Online

Comments