Home Tempatan Bukan untuk Islam sahaja

Bukan untuk Islam sahaja

SHARE

KOTA BHARU – Skop pelaksanaan konsep hospital mesra ibadah di negara ini tidak hanya tertumpu pada orang Islam semata-mata, bahkan ia turut membabitkan keselesaan agama lain.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, pelaksanaan akan mengambil masa dan perlu dilakukan secara berterusan memandangkan ia melibatkan pemahaman, budaya dan pemikiran.

“Dalam membantu proses penyembuhan, bagi pesakit yang beragama Islam kita sudah lazim. Contohnya di hospital boleh membaca Yasin namun keperluan pesakit bukan Islam juga dilihat.

“Apa yang kami mahukan warga kementerian menghormati agama lain. Kami mahu pegawai, doktor, jururawat, pegawai farmasi pun memahaminya supaya mereka boleh bertolak ansur dalam membantu semua pesakit,” katanya semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Konvensyen Hospital Mesra Ibadah peringkat kebangsaan keempat yang dirasmikan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Asma Ismail.

Dr Azman berkata, konsep berkenaan bakal dikembangkan berperingkat di 146 hospital seluruh negara dan kini pelaksanaannya turut melibatkan 55 hospital pakar, bahkan telah dimulakan di hospital negeri-negeri.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi 60 pegawai agamanya telah membantu untuk menerapkan budaya-budaya murni berkaitan konsep ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Asma berkata, konsep tersebut adalah untuk menjadikan hospital sebagai tempat yang membantu proses penyembuhan bukan hanya fizikal tetapi juga sembuh spiritual.

Katanya, konsep itu sangat penting kerana ia bukan sekadar membantu, memudahkan dan menggalakkan ibadah pesakit tetapi ia meningkatkan kecemerlangan hospital melalui penerapan nilai kerohanian dan moral para pekerja.

“Sudah sampai masanya konsep ini diperkasakan, tidak hanya terhad kepada menyediakan kemudahan kepada pesakit menunaikan ibadah solat dan juga menerapkan nilai-nilai murni dalam cara kerja petugas.

“Tetapi ia perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Contohnya merangka polisi yang bersepadu dan dasar patuh syariah dalam perkhidmatan kesihatan ke arah menjadikan hospital patuh syariah sebagaimana dalam bidang perbankan,” katanya.

Untuk rekod Hospital Universiti Sains Malaysia telah menjadi hospital universiti pertama di negara ini yang mengamalkan konsep hospital mesra ibadah iaitu sejak tahun 2004, bahkan menjadi rujukan.

Sinar Online

Comments