Home Tempatan ‘Bukan Suruhanjaya Reid sahaja bentuk Perlembagaan Persekutuan’

‘Bukan Suruhanjaya Reid sahaja bentuk Perlembagaan Persekutuan’

SHARE

BANGI, 23 Muharram 1439H, Jumaat – Suruhanjaya Reid bukanlah segala-galanya dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan, tetapi sebelumnya lagi telah wujud asas bagi pembentukan Malaysia, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, PPMM telah membentuk satu pasukan pengkaji sejarah perundangan negara dan delegasi 12 peguam telah membuat kajian di Arkib Negara, Arkib Parlimen Britain, Arkib United Kingdom dan Perpustakaan British bagi meneliti dokumen lama sejarah perundangan Malaysia.

Hasilnya, kata beliau, terdapat pelbagai perkara yang masih belum diketahui mengenai sejarah negara dan kemungkinan juga ada lagi fakta yang masih belum didedahkan kepada umum.

“Kita mungkin selalu membaca laporan Suruhanjaya Reid yang dikatakan telah menggubal Perlembagaan Persekutuan. Namun sebenarnya Suruhanjaya Reid tersebut bukanlah segala-galanya.

“Jauh sebelum daripada itu telah terdapat asas pembentukan negara yang mana Suruhanjaya Reid hanya mengabsahkan kesinambungannya sahaja. Sangat menarik juga jika kita dapat membaca perbincangan Kabinet Britain semasa mahu membentuk suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid tersebut.

“Begitu juga handsard Parlimen Britain yang membincangkan peruntukan Perlembagaan Per-sekutuan. Malah surat-surat antara pelbagai pihak di Tanah Melayu kepada Kerajaan British dan sebaliknya juga sangat bermanfaat untuk dibaca bagi memahami peranan British di Tanah Melayu ketika itu,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Malah, katanya, walaupun usaha dilakukan agak singkat iaitu bermula 28 September hingga 7 Oktober lalu, banyak dokumen dan fakta sejarah perundangan ditemui.

“Yang lebih menakjubkan terdapat dokumen yang sudah lebih 100 tahun tidak dibuka diperoleh ketika ini. Saya percaya bahawa terdapat banyak lagi bahan yang perlu digali bagi terus menghayati sejarah perundangan negara ini. Mungkin pada masa akan datang lawatan susulan perlu diadakan lagi,” katanya.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments