Home Tempatan Bukan Islam tak terbabit hukum sebat di khalayak

Bukan Islam tak terbabit hukum sebat di khalayak

SHARE

KOTA BHARU, 22 Syawal 1438H, Ahad – Orang bukan Islam tidak perlu takut atau bimbang dengan langkah Kelantan membenarkan hukuman sebat di khalayak ramai kerana ia dikenakan kepada Muslim sahaja.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyelar sikap sesetengah pihak yang menyindir dan mempermainkan langkah berkenaan sekali gus mengundang kekeliruan rakyat.

Katanya, ia sudah pasti mengikut proses demokrasi dan memenuhi kriteria dalam sebuah negara berperlembagaan.

“Apa yang kita buat memenuhi kriteria dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan, kita bukan pengganas, bukan IS. Kita buat sesuatu benda itu berdasarkan kemampuan.

“Sekali lagi kita tegaskan, ini untuk orang Islam sahaja sebagai penambahbaikkan kerana bertepatan dengan bidang kuasa yang ada pada kita,” katanya kepada pemberita.

Malah beliau turut menyifatkan pihak yang mengaitkan langkah berkenaan dengan gimik politik atau kerjasama BN setelah PAS masih gagal laksana hudud sebagai ‘buta sejarah’.

“Sebab Pas sentiasa konsisten, Pas tidak pernah tarik apa yang kita tegaskan sejak tahun 1951 dalam perlembagaan kita. Kita tidak pernah kompromi walaupun kita duduk dengan kerajaan BN dulu, kerajaan campuran, kita dengan Pakatan Rakyat.

“Kita tidak pernah berundur dalam konteks ini hatta sampaikan kita sendiri terpaksa hilang kawan dalam mempertahankan prinsip kita,” katanya.

Katanya, pelaksanaan hukuman sebat dikhalayak ramai di negeri itu dilakukan kerana berada di bawah bidang kuasa yang ada.

“Yang ini kita buat sebab inilah bidang kuasa yang ada, kita nak buat yang lain tidak mampu. Akta 355 belum lagi sebab itu bukan bidang kuasa kita,” katanya.

Comments