Home Tempatan Bukan Islam Marah, PKR Tidak Akan Menyokong RUU 355 – Abdul Malik...

Bukan Islam Marah, PKR Tidak Akan Menyokong RUU 355 – Abdul Malik Kassim

SHARE

PUTRAJAYA: Desas-desus mengatakan usul pindaan Akta RUU 355 tidak akan dibentangkan langsung pada persidangan Parlimen kali ini meleset sama sekali apabila ia ternyata akan dibentangkan hari ini.

Walau bagaimanapun, mengenai soal sokongan dari pelbagai pihak terutamanya Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam masih menjadi tanda tanya dan hanya akan terjawab selepas ianya benar-benar dibentangkan.

Menara.my cuba mendapatkan kepastian mengenai pandangan, pendirian serta mengkaji pandangan dan kenyataan daripada beberapa ahli Parlimen, ADUN mahupun wakil beragama Islam sama ada daripada BN, PAS, PKR, PAN dan PPBM sama ada mahu menyokong ataupun tidak, usul berkenaan untuk dikuatkuasakan kelak.

Umum mengetahui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan pendirian beliau yang tetap akan membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 pada persidangan Parlimen kali ini.

“Sudah tentu kerajaan boleh beri masa bila-bila sahaja untuk PAS bawa RUU 355 dan saya seru semua ahli Parlimen Islam supaya menyokong dan bagi yang bukan Islam pula, hormatilah Perlembagaan,” katanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki ketika dihubungi berkata, pihaknya tetap menyokong usul ini dibentangkan, “Perkara amar ma’ruf ini kita kena sokong. Yang membentuk sejarah negara kita ini adalah agama Islam, jadi mahkamah Syariah ini perlu diperkasakan”.

Beliau berkata, sebenarnya, PAS tidak pernah mempolitikkan isu RUU 355 ini. PAS bentangkan mengikut saluran dan cara yang betul menurut Perlembagaan Malaysia. Pihak yang menentang dan mendakwa perkara ini dipolitikkan itulah yang sebenarnya mempolitikkan RUU 355 ini.

“Hanya orang yang tidak cinta kepada agama sahaja melihat perkara ini sebagai remeh sedangkan perkara ini amat besar,” katanya. Menurutnya, dengan memperkasa undang-undang syariah sahaja ekonomi orang Islam dapat dipertingkatkan sekaligus dapat menjamin nilai moral adab masyarakatnya.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Batu Maung, Dato` Abdul Malik Abul Kassim berkata, pihaknya berpendirian tidak akan menyokong pindaan akta 355 ini untuk dikuatkuasakan kerana merasakan PAS hanya mempolitikkan undang-undang Syariah itu bagi meraih perhatian.

Menurutnya, banyak cara lain lagi untuk memperkasa undang-undang Islam dan bukan hanya semata-mata perlaksanaan RUU 355 sahaja yang dilihat hanyalah sebagai agenda politik dari PAS.

“Bagi saya ada perkara yang lebih besar dan lebih banyak yang perlu dilakukan, jangan mempolitikkan agama, RUU 355 ini jelas mempolitikkan agama walaupun saya bukan Ahli Parlimen dan tidak mengundi tetapi saya melihat perkara ini tidak sepatutnya dibentangkan sehingga menyebabkan bukan Islam marah, seluruh rakyat berpecah belah dan berlaku perpecahan di dalam Islam,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dipetik melalui sebuah portal tempatan berkata, parti itu belum membuat keputusan rasmi mengenai pendirian parti itu terhadap usul pindaan RUU 355 yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Usul ini tidak begitu jelas dan kita tidak boleh buat sebarang keputusan lagi. Sehingga kini, saya sebagai Ahli Parlimen Pagoh tidak mengetahui kedudukan mutakhir yang akan dibincang dan dibahaskan di Parlimen. Kita susah untuk buat keputusan muktamad kita akan tunggu dan lihat bagaimana format akhir yang akan dibentangkan,” ujarnya.

“Kita (Bersatu) sendiri pun belum lagi jelas tentang usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang itu. Kita tidak boleh buat komitmen awal (untuk bersetuju) sebelum kita buat keputusan muktamad. Tunggu dibentangkan di Parlimen nanti,” ujarnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula sebelum ini pernah dipetik sebagai berkata, cadangan RUU 355 itu antara lain dapat meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dalam menghukum, termasuk menaikkan kadar denda terhadap pesalah.

“Apabila melakukan sesuatu kezaliman terhadap wanita seperti tidak membayar nafkah misalnya, Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum dengan denda setakat RM5,000. Jadi, ia tak memadai dengan nilaian tanggungjawab terhadap wanita yang dibiarkan sengsara,” katanya.

Asyraf seperti yang pernah dilaporkan berkata, sudah tiba masanya untuk mengangkat sedikit kuasa Mahkamah Syariah dengan meningkatkan kadar denda yang setimpal dengan nilaian semasa.

“Selepas 32 tahun akta ini diperkenalkan, kita lihat kuasa menghukum yang ada hari ini, iaitu denda RM5,000 nilaian 1984 dengan sekarang ini berbeza,” katanya.

Beliau menegaskan, RUU 355 tidak ada kaitan dengan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan seperti dakwaan sesetengah pihak kerana Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 adalah akta Persekutuan yang diluluskan di Parlimen dan meliputi bidang kuasa diperuntukkan dalam Parlimen.

“Sebab itulah kalau pun nak buat, pindaan ini akan dibawa ke Parlimen juga dan selagi mana ia berada dalam lingkungan Perlembagaan, selagi itulah akta ini boleh dilaksanakan dan diluluskan,” katanya.

Baru-baru ini juga Asyraf yang dipetik Utusan Online menegaskan keputusan oleh kerajaan untuk tidak membentangkan RUU 355 “tidak timbul Kerajaan menolak Akta 355 ini kerana Akta ini adalah milik kerajaan.”

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron ketika bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, turut menyentuh isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Katanya, semua pihak terutama masyarakat bukan Islam tidak perlu khuatir dengan pindaan itu kerana ia hanya bertujuan menambahbaik undang-undang berkenaan.

Beliau berkata, penambahbaikan berkenaan tidak akan mengganggu-gugat aturan undang-undang yang selama ini dilaksanakan di Malaysia iaitu ‘common law’ dan ‘syariah law’.

Manakala Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ketika dihubungi pagi ini dan ditanya mengenai pendiriannya serta AMANAH sendiri sama ada akan menyokong atau tidak usul RUU 355, menggesa supaya orang awam untuk mengikuti perbahasan di Dewan Parlimen hari ini, kerana pagi ini dia sedang bersedia untuk perbahasan usul tersebut.

Comments