Home Tempatan Bukan Insiden Perkauman – PDRM

Bukan Insiden Perkauman – PDRM

SHARE

Polis telah menolak dakwaan bahawa kejadian rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya awal pagi ini ada kaitan dengan isu perkauman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata pergaduhan tersebut berpunca akibat dari pertikaman lidah antara dua kumpulan iaitu pemaju hartanah kawasan berkenaan dan penganut Hindu di kuil berkenaan berikutan arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 2:45 pagi itu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam perkarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.”

“Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motorsikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh”, katanya lagi yang dipetik oleh portal Utusan Online semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Polis juga menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan berhubung kekecohan tersebut menurut Datuk Mazlan Mansor. Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Hospital Serdang ketika menjalani rawatan akibat kecederaan dari rusuhan itu.

“Ini satu insiden terpencil yang kita katakan bahawa berlaku caci-mencaci sesama sendiri. Kita tidak mahu dicop sebagai satu insiden yang melibatkan perkauman. Biar kami siasat dahulu, pihak polis mahu melaksanakan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan orang ramai di sekitar kawasan tersebut,” ujarnya.

Pihak polis juga telah mengerahkan anggotanya bagi mengawal keadaan di sekitar kuil tersebut supaya tidak belaku sebarang kekecohan.

“Kita juga telah menempatkan sebanyak lebih 700 orang pegawai dan anggota termasuk dari pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk bersedia di kawasan kuil itu. Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita minta semua pihak bertenang dan jangan timbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan,” tambahnya.

Polis IPD Subang Jaya menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Orang ramai diminta agar menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian itu dengan isu perkauman. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” tegasnya lagi.

Comments