Home Tempatan Buka pintu mahkamah syariah

Buka pintu mahkamah syariah

SHARE

KONFLIK pertindanan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah sering mendapat perhatian media. Ia merupakan dilema yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dalam konteks Malaysia, ia diburukkan lagi dengan sentimen agama dan perkauman ini disulami emosi dan sikap berprasangka antara satu sama lain. Jalan penyelesaian dikatakan gagal digapai walaupun negara telah mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun.

Isu satu pihak beragama Islam dan sepihak lagi tidak beragama Islam perlu ditangani dalam kerangka atau skema Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Malah perlu juga selusuri sejarah bagi mencari kaedah terbaik penyelesaian kemelut ini.

Pada masa ini, mahkamah sivil dalam hal pembubaran perkahwinan telah menutup pintu mereka kepada penganut Islam manakala mahkamah syariah pula menutup pintunya pula kepada bukan Islam.

Hal yang demikian terpaksa dilakukan kedua-dua mahkamah akibat daripada peruntukan undang-undang yang ada.

Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam hal ehwal kekeluargaan, malah dalam hal lain yang memerlukan determination of Islamic laws atau pertimbangan hukum syarak (sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan) juga telah dimonopoli mahkamah sivil atas alasan antara lainnya kerana ia melibatkan orang bukan Islam seperti dalam kes-kes perbankan Islam.

Justeru, wujudlah penghakiman-penghakiman tersasar dari landasan hukum syarak kerana hakim sivil yang mengadilinya tidak dilatih dalam undang-undang Islam, malah alat yang digunakan untuk mengadilinya pula seperti undang-undang keterangan dan undang-undang prosedur juga ada kalanya tidak berteras syariah.

Begitu juga sifat hakim mahkamah sivil yang lebih kepada sistem adversary  berbanding sistem Islam yang melaksanakan separa inquisitor  juga memberi impak kepada penghakiman yang dibuat.

Sebagaimana kita sedia maklum, semua enakmen negeri-negeri melibatkan undang-undang Islam dalam negara meletakkan peruntukan bahawa mahkamah syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam.

Penulis berpendapat sudah sampai masanya peruntukan ini diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud ini.

Begitu juga mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan Islam dari diadili di mahkamah syariah perlu dimansuhkan.

Semestinya mahkamah syariah sebagai mahkamah yang memperjuangkan keadilan dan mempertahankan kedudukan Islam boleh mendengar daripada mana-mana pihak sama ada orang tersebut beragama Islam atau pun tidak.

Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan prinsip keadilan Islam itu sendiri.

Namun begitu, orang bukan Islam tidaklah perlu gusar, kerana hal ini tidaklah bermatlamat mengislamkan orang bukan Islam. Hanya dalam perkara-perkara tertentu sahaja seperti yang melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan ini perlu ditadbir di mahkamah syariah.

Penulis berpendapat sudah sampai masanya pelbagai pihak berkuasa sama-sama membawa kedudukan Islam seperti tercatat di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan dengan meminda peruntukan perlembagaan dan undang-undang yang sesuai serta memartabatkan kedudukan Islam kepada seluruh masyarakat supaya ia dapat difahami, di samping tidak merendahkan hak bukan Islam di mahkamah syariah dalam kes-kes di mana terdapat pertindanan bidang kuasa.

Sering kali apabila isu berkaitan pemelukan Islam oleh seorang mualaf (khususnya apabila suami yang memeluk Islam) dikupas, pelbagai pihak membuat andaian dan memberi pelbagai pandangan negatif.

Antaranya dikatakan orang mualaf tersebut memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam, ingin lari dari tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga, ingin memutuskan kekeluargaan dan pelbagai kata nista sehingga boleh memalukan mualaf tersebut.

Sikap prejudis inilah yang dicanangkan dan merendahkan martabat mualaf sedangkan menurut undang-undang Islam, mualaf menikmati jaminan dan keistimewaan sama seperti orang yang lahir Islam. Malah, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mualaf mengamalkan agamanya.

Dalam hal penjagaan anak pula sering rujukan dibuat pada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memperuntukkan persamaan hak ibu bapa ke atas anak mereka.

Namun mereka lupa, dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut menyebut secara jelas larangan penggunaan akta itu kepada orang yang memeluk agama Islam. Jadi apabila anak tersebut telah diiktiraf sebagai Islam, maka perkara subjek iaitu anak-anak yang telah memeluk Islam juga dianggap terkeluar dari naungan akta tersebut.

Oleh yang demikian, penulis berpandangan penyelesaian konflik ini ialah dengan membuka ruang kepada orang bukan Islam di mahkamah syariah.

Mana-mana undang-undang yang menjadi halangan perlulah dipinda bagi merealisasikan maksud ini. Ia juga selaras usaha kerajaan memartabatkan kedudukan Islam sepertimana termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sinar Online

Comments