Home Tempatan Buka peluang dalami al-Quran

Buka peluang dalami al-Quran

SHARE

KUALA LUMPUR – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) terus menggerakkan langkah dalam menggalakkan masyarakat dari pelbagai komuniti mendekati al-Quran sebagai panduan hidup yang lebih berkesan.

Terbaharu, penubuhan Rumah Ngaji di pusat perlindungan Suri Yayasan Salam Malaysia (Suri@Salam) Chow Kit, di sini menjadi satu lagi model bahawa setiap insan mempunyai peluang dan hak untuk kembali ke jalan yang benar.

Pengurus Operasi Yayasan Salam Malaysia, Ahmad Hasni Mohd Jalilah berkata, kerjasama bagi inisiatif pelaksanaan itu membuka peluang kepada komuniti yang mempunyai pelbagai masalah sosial di situ untuk mendalami al-Quran.

Menurutnya, sebelum ini terdapat kelas khas yang dikelola oleh pihak sukarelawan, namun agak sukar untuk dikekalkan dalam jangka masa panjang.

“Dengan penubuhan Rumah Ngaji dan kerjasama ini diharapkan mampu menjadikan usaha ini lebih konsisten dan lebih ramai terlibat.

“Kini seramai 70 orang terdiri daripada pelbagai peringkat umur yang mendapat khidmat di sini dan mereka ini merupakan golongan sasar untuk terlibat secara langsung dalam program Quran Hour misalnya,” katanya kepada Sinar Harian selepas Pelancaran Rumah Ngaji@Suri, Yayasan Salam Malaysia, di sini, semalam.

Rumah Ngaji itu akan beroperasi setiap hari Sabtu jam 2.30 hingga 4.30 petang.

Dalam pada itu, Ahmad Hasni berkata, Suri@Salam yang ditubuhkan sejak 2007 merupakan pusat yang berperanan membantu golongan keluarga dan individu bermasalah sosial untuk teruskan kelangsungan hidup.

Katanya, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan bagi membantu golongan berkenaan menjana pendapatan.

“Pada awalnya penubuhan Suri@Salam ini khas untuk golongan wanita teraniaya, namun kini ia lebih terbuka. Jadi kita galakkan komuniti untuk terlibat dalam program-program yang kita lakukan,” katanya.

Sinar Online

Comments