Home Tempatan BUDAYAKAN ISTILAH MELAYU DALAM ISLAM

BUDAYAKAN ISTILAH MELAYU DALAM ISLAM

SHARE
SEBAHAGIAN daripada saudara Muslim membaca al-Quran pada Majlis Tadarus Perdana Sempena Nuzul Al-Quran 1437H di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) tahun lepas. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

PADA permulaan surah ar-Rahman (55) ayat 2, Allah SWT memulakan de­ngan penciptaan-Nya yang amat penting bagi memakmur dan mentadbirkan alam ini iaitu permulaannya dengan, “Dia (Allah) yang mengajarkan al-Quran, menciptakan manusia dan mengajarkan al-Bayan.”

Diajarkan al-Quran, kitab suci yang agung dan lengkap diciptakan untuk manusia sebagai khalifah dan pentadbir alam, kemudian mengajar dan membolehkan manusia menguasai Al-Bayan yang pada umumnya ditafsirkan oleh ramai para pentafsir sebagai bahasa atau percakapan, alat komunikasi dan kecerdasan manusia.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa bahasa adalah objek atau alat yang amat penting dalam kehidupan manusia ini. Malah dalam salah satu ayat al-Quran dijelaskan tentang keagungan Tuhan yang dapat diselami rahsia dan tanda-tanda kebesaran-Nya yang disebut dalam ayat 22 Surah al-Rum: “… dan di antara tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksana­an-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan kepelbagaian bahasa dan warna kulit kamu.”

Allah menerangkan semuanya ini dengan agak terperinci dalam al-Quran memandangkan salah satu kemegahan kaum Arab pada zaman jahiliah adalah kemahiran dan kekuatan serta keindahan bahasa mereka yang menjadi kebanggaan di zaman itu.

Dengan itu al-Quran diturunkan dalam susunan bahasa yang merupakan mukjizat sekali gus mengatasi segala keagungan serta estetika bahasa Arab zaman jahiliah. Maka para penyair dan pujangga jahiliah akhirnya mene­rima hakikat tersebut malah se­ring menyelinap ke rumah-rumah untuk mencuri dengar ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh orang Islam ketika itu.

Mereka juga tidak dapat me­nyahut cabaran Allah supaya kalau mungkin bawalah satu surah atau seumpamanya yang dapat mengatasi bahasa al-Quran.

Namun variasi atau kepelbagai­an bahasa yang disebutkan Allah itu tidak dibawakan istilah yang menggunakan perkataan bahasa atau lughah (dalam kalimah Arab) sebaliknya digunakan istilah lisan yang bererti lidah, lambang atau kata nama bagi menggantikan bahasa supaya memberi kefahaman bahawa manusia mempunyai kepelbagaian bahasa dan semua bahasa yang digunakan adalah bahasa kaum serta bangsa tertentu yang sama tarafnya menurut perspektif Islam.

Justeru, semua bahasa akan dapat memahami segala istilah dan kata kunci dalam al-Quran malah Allah amat memahami apa-apa saja yang dikeluarkan, didoa, dirayu atau dimunajatkan oleh kepelbagaian suku bahasa dan bangsa dalam bahasanya. Ini kerana semuanya itu dikeluarkan serta diluahkan melalui lisan atau lidahnya.

Di sinilah terletaknya objektif ilmu bahasa atau kajian linguistik dalam konteks memahami Islam khususnya kandungan holistik al-Quran yang amat luas itu. Al-Quran juga berulang kali menjelaskan tentang keagungan kitab suci ini melalui firman Allah yang menerangkan bahawa al-Quran diturunkan dalam lisan Arabi yang memberi erti bahawa keseluruhan makna, amanah, rahsia keindahan dan keunikan al-Quran terdapat dalam penguasaan lisan Arabi ini.

Bagaimanapun di sinilah terletaknya keunikan bahasa-bahasa yang digunakan oleh umat yang menerima Islam apabila mereka membudayakan segala istilah dan bacaan dalam ibadat menggunakan bahasa al-Quran itu sendiri iaitu lisan Arabi.

Dalam pada itu bahasa Melayu juga kaya dengan kosa kata serta istilah Arab yang merupakan bahasa al-Quran. Keadaan itu berlaku disebabkan masyarakat Melayu amat terkenal sebagai umat yang teliti dalam memahami agamanya dalam bahasa asal yang mana istilah mungkin sukar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Satu perkara lagi, orang yang memahami bahasa al-Quran ketika membaca kitab suci ini sering merasakan banyak fakta dan frasa kitab suci itu adalah sesuatu yang baharu seolah-olah baru pertama kali dibaca dan dihayatinya walaupun telah berulang-ulang kali membacanya.

Dalam konteks inilah dirasakan amat perlu ketika menyedari bahawa bahasa Melayu itu adalah salah satu bahasa dalam Islam di samping bahasa Turki, Parsi dan Urdu. Maka umat Islam negara ini seharusnya dapat menguasai bahasa al-Quran dengan baik terutama untuk memahami dan menghafal kitab suci al-Quran.

Sebenarnya al-Quran bukan sekadar untuk dibaca dan dilagukan malah kita dituntut untuk memahami serta menghayati segala rahsianya yang amat kaya itu. Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci yang merupakan perlembagaan utama bagi umat manusia di dunia dan akhirat.

Tidak boleh tidak usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dalam Islam perlu dipertingkatkan.

Hakikatnya, bahasa Melayu haruslah dilonjakkan pemahamannya terutama peranannya ketika menjelaskan istilah-istilah agama. Dengan kata lain bukan hanya menyebut dan menuturkan istilah agama itu tetapi perlu difahami definisi dan kandungan kata kunci serta istilahnya dengan lebih terperinci.

Sudah tiba masanya juga minda umat Islam yang merasakan telah cukup menjadi alim dan ahli agama dengan menghafal al-Quran dilonjakkan ke daerah yang lebih holistik dalam pembe­lajaran al-Quran itu merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia dan manusia dan alam.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

utusan online

 

Comments