Home Pendapat Boleh Berharmoni Tetapi Jangan Sampai Promosikan Pluralisme Agama

Boleh Berharmoni Tetapi Jangan Sampai Promosikan Pluralisme Agama

SHARE

Saban tahun sejak sepuluh tahun lalu, pada setiap minggu pertama bulan Februari setiap tahun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sambutan Minggu Harmoni Silang-Agama Sedunia dan disyorkan untuk disambut oleh setiap negara sebagai meraikan kepelbagaian dan perpaduan antara penganut agama-agama yang berbeza.

Sambutan ini bermula pada tahun 2007 dan diletakkan di bawah kelolaan PBB setelah usul oleh Raja Abdullah II, raja Jordan diluluskan dalam Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2010. Ia bermula sebagai dialog antara penganut agama Islam dan agama Kristian untuk mencapai persefahaman dan mewujudkan perpaduan antara penganut kedua-dua agama berasaskan kepada suruhan ‘Cinta kepada Tuhan’ dan ‘Cinta kepada Jiran’.

Di Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama dan adat resam, sudah lama mengamalkan toleransi dan persefahaman antara agama sehingga dapat hidup secara aman damai dan harmoni, puluhan tahun lamanya. Setiap kaum bebas mengamalkan dan menzahirkan anutan agama masing-masing tanpa rasa takut selari dengan perlindungan yang diberikan oleh perlembagaan. Fikirkan pula keadaan sebaliknya yang sedang dihadapi oleh etnik Rohingya di Myanmar yang ditindas semata-mata kerana anutan mereka yang berbeza dengan anutan majoriti, walaupun hakikatnya mereka merupakan peribumi di negara mereka sendiri.

Hak kebebasan dalam beragama ini dinikmati sepuas-puasnya oleh warganegara Malaysia dan hak ini dijamin dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) mengiktiraf “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Namun apa yang menyedihkan ialah, mutakhir ini, jelas kedengaran suara-suara sumbang yang mendakwa kononnya hak beragama warganegara bukan Islam ditindas dan dianaktirikan, seolah-olah mereka adalah warganegara kelas kedua. Kononnya pemerintah Melayu beragama Islam pilih kasih dalam memerintah negara sehingga terhasil polisi-polisi berat sebelah yang mengganggu-gugat perpaduan antara kaum dan keharmonian antara penganut pelbagai agama minoriti. Lalu muncul kumpulan-kumpulan yang mencadangkan dialog-dialog antara agama untuk mempromosi persefahaman antara penganut agama Islam dengan bukan Islam. Namun ada ketikanya, amat malang sekali apabila sesi-sesi pertukaran buah fikiran antara agama menjadi medan untuk menghentam dan menghina Islam dan penganutnya.

Modus operandi yang menjadikan dialog-dialog antara agama ini sebagai platform untuk cuba mengangkat agama-agama lain setara dengan agama Islam, adalah berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara. Kononnya sepatutnya tidak ada ‘fahaman’ yang lebih tinggi kedudukan daripada fahaman-fahaman lain, adalah ‘jarum halus’ untuk menidakkan ‘Islam sebagai agama bagi Persekutuan’ melalui ‘pintu belakang’. Kita tidak harus lupa bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’, ini dengan sendirinya menjelaskan ketinggian kedudukan dan kedaulatan agama Islam di negara ini jauh lebih tinggi daripada lain-lain agama.

Mungkin semua agama menyuruh kepada kebaikan, tetapi itu tidak bermakna semua agama akan membawa kita kepada kebenaran. Sebagai Muslim hal ini sudah jelas malah harus lebih diperjelaskan lagi. Janganlah pula ada antara kita mencuba-cuba untuk memberi definisi baru kepada Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai Malaysia yang sudah terbukti berkesan dengan baik. Kita tidak ada halangan untuk berharmoni sesama kita, tetapi itu tidak bermakna kita sedia menerima pluralisme agama dengan berlapang dada!

Comments