Home Tempatan Bina Pusat Khidmat Quran Dunia

Bina Pusat Khidmat Quran Dunia

SHARE
Solat tarawih yang diimamkan oleh penuntut Universiti Islam Madinah.

SHAH ALAM – Syarikat 7 Sanaabil International Sdn Bhd telah memilih lokasi Helsinki, Finland sebagai salah satu lokasi bagi membangunkan Pusat Khidmat Quran Dunia.

Pengerusinya, Yaakob Wan Harun berkata, pelaksanaan untuk membina Pusat Khidmat Quran Dunia itu adalah di bawah Projek Waqaf Quran Dunia yang kini sedang giat dijalankan.

“Kami memilih lokasi tersebut, adalah di atas permintaan ulama dan pendakwah di kawasan berkenaan. Walaupun memiliki 100,000 penduduk beragama Islam, namun tidak ada satu masjid pun yang dibina di sana.

“Kita juga bersyukur kerana kerajaan Finland sangat memberi kerjasama yang baik kepada badan kebajikan Islam di sana bagi tujuan pembangunan projek ini,” katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, katanya, projek yang melibatkan kos RM2 bilion itu akan dilaksanakan di tujuh negara seperti Eropah, Afrika, Rusia, Jepun, Indonesia, Bangkok dan termasuk Malaysia.

Menurutnya, bagi menjamin imej dan nama baik negara, projek itu akan diuruskan melalui kedutaan Malaysia di sana.

“Perbincangan juga telah dibuat dengan Konsul Jeneral di Jeddah, Datuk Mohd Ali Selamat dan Insya-ALLAH, dengan kerjasama Komuniti Malaysia Hijazi (KMH), kita akan bergerak ke hadapan bagi menjayakan projek ini dan imej negara akan dijaga sebaiknya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek itu sebagai satu usaha menyebarkan al-Quran dan memastikan ia sampai kepada seluruh penduduk di sana.

“ALLAH SWT menyebut al-Quran itu adalah kitab petunjuk dan ia tidak bermakna sekiranya tidak sampai kepada manusia seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata, al-Quran tidak akan bergerak sendiri, sebaliknya memerlukan usaha berterusan dan mereka yang bergerak bagi tujuan menyebarkannya.

“Disebabkan itu, kami meletak sasaran membangunkan pusat-pusat khidmat Quran Dunia yang akan menyediakan tenaga pengajar dan pendakwah bagi menyampaikan kerja memahami al-Quran kepada manusia,” katanya.

Sinar Online

Comments